5 LANGKAH MENCIPTA RUMAHKU SYURGAKU


5 LANGKAH MENCIPTA RUMAHKU SYURGAKU |
Assalamualaikum. Salam Jumaat yang berkat. Jom kita kongsi ilmu sikit pagi ni. Semoga ilmu ini kita baca dan pratikkan. Ianya adalah tulisan dari Ustazah Asma Harun di laman sosial beliau. Semoga bermanfaat.

 Setiap insan pasti mengimpikan rumah yang tenang, mendamaikan dan selesa. Ukuran untuk mendapatkannya, bukanlah pada rumah yang besar, penuh perabot mewah dan lain-lain, tetapi ia terletak pada bagaimana kita mencorakkannya.
Sahabat, walau bagaimanapun kondisi rumah kita, sama ada mewah atau seadanya, besar atau sederhana, ia bukanlah penghalang untuk mencipta rumah syurgawi. Corakkanlah rumah syurgawi yang kita impikan dengan sebaiknya.

5 LANGKAH MENCIPTA RUMAHKU SYURGAKU


1- MENGHIDUPKAN ALUNAN ZIKIR DAN AYAT AL QURAN


Rumah yang sentiasa hidup dengan alunan zikir dan bacaan al-Quran pasti mendatangkan ketenangan kepada isi rumahnya. Nabi Muhammad SAW bersabda :

مَثَلُ الْبَيْتِ الَّذِي يُذْكَرُ اللهُ فِيهِ، وَالْبَيْتِ الَّذِي لَا يُذْكَرُ اللهُ فِيهِ، مَثَلُ الْحَيِّ وَالْمَيِّتِ.
Maksudnya : “Perumpamaan rumah yang disebutkan Allah SWT di dalamnya adalah seperti orang yang hidup (rumah itu makmur), sementara rumah yang tidak disebutkan Allah SWT di dalamnya adalah seperti orang yang mati (rumah itu terbiar).”
(HR Muslim)


2- SOLAT TEPAT PADA MASANYA


Solat merupakan tiang agama. Maka, peliharalah solat dan tunaikan awal waktu. Nabi Muhammad SAW bersabda :

أَىُّ الْعَمَلِ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ قَالَ ‏"‏ الصَّلاَةُ عَلَى وَقْتِهَا ‏"‌‏.‏ قَالَ ثُمَّ أَىُّ قَالَ ‏"‏ ثُمَّ بِرُّ الْوَالِدَيْنِ ‏"‌‏.‏ قَالَ ثُمَّ أَىّ قَالَ ‏"‏ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ‏"‌‏
Maksudnya: Apakah amalan yang paling dicintai disisi Allah SWT? Nabi menjawab “Solat pada waktunya”. Dia (perawi) bertanya lagi kemudian apa, jawab Baginda “berbuat baik kepada kedua ibu bapa”. Dia bertanya lagi kemudian apa, jawab Baginda “Jihad pada jalan Allah SWT”.
(HR Bukhari)


3-MENGHIDUPKAN MAJLIS ILMU


Lazimi majlis ilmu di rumah. Ajari anak dan isteri ilmu ibadah, akhlak dan seumpamanya. Nabi Muhammad SAW bersabda,

إِذَا مَرَرْتُمْ بِرِيَاضِ الْجَنَّةِ فَارْتَعُوا قَالُوا وَمَا رِيَاضُ الْجَنَّةِ قَالَ حِلَقُ الذِّكْرِ
Maksudnya : “Jika kamu melalui taman syurga maka berhentilah. Mereka bertanya,”Apakah taman syurga itu?” Beliau menjawab,”Majlis Ilmu.”
(HR At-Tirmizi)

4-SALING MENGINGATI TENTANG KEBAIKAN


Manusia mudah leka dan alpa maka sentiasa mengingati dengn kebaikan.
Nabi SAW bersabda :

مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى كَانَ لَهُ مِنَ اْلأَجْرِ مِثْلُ أُجُوْرِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُوْرِهِمْ شَيْئًا، وَمَنْ دَعَا إِلَى ضَلَالَةٍ ، كَانَ عَلَيْهِ مِنَ الْإِثْمِ مِثْلُ آثَامِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ آثَامِهِمْ شَيْئًا
Maksudnya : "Barangsiapa mengajak kepada kebaikan, maka ia akan mendapat pahala sebanyak pahala yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi pahala mereka sedikitpun. Sebaliknya, barang siapa mengajak kepada kesesatan, maka ia akan mendapat dosa sebanyak yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi dosa mereka sedikitpun."
(HR Muslim)

5-BANYAKKAN BERSYUKUR DENGAN PEMBERIAN ALLAH


Orang yang bersyukur dengan pemberian Allah, pasti bahagia dan terasa lapang jiwanya. Diriwayatkan oleh Nu’man bin Basyir r.a.:

مَنْ لَمْ يَشْكُرْ الْقَلِيلَ لَمْ يَشْكُرْ الْكَثِيرَ وَمَنْ لَمْ يَشْكُرْ النَّاسَ لَمْ يَشْكُرْ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَالتَّحَدُّثُ بِنِعْمَةِ اللَّهِ شُكْرٌ وَتَرْكُهَا كُفْرٌ وَالْجَمَاعَةُ رَحْمَةٌ وَالْفُرْقَةُ عَذَابٌ
Maksudnya: "Siapa yang tidak mampu mensyukuri nikmat yang sedikit, maka ia tidak akan mampu mensyukuri nikmat yang banyak. Dan siapa yang tidak mampu berterima kasih kepada manusia, maka ia tidak akan mampu bersyukur kepada Allah 'azza wajalla. Membicarakan nikmat Allah adalah syukur, sedangkan meninggalkannya adalah kufur. Hidup berjemaah adalah rahmat, sedangkan perpecahan adalah azab."
(HR Ahmad)
Semoga Allah permudahkan urusan kita dalam usaha menghidupkan suasana kediaman yang tenang. Allahumma Amin

Post a Comment

0 Comments