Tips dan Cara Untuk Khusyuk dalam Solat


Solat itu tiang agama.  Dengan solat juga membentuk peribadi, mencorak kehidupan harian dan juga magnet rezeki. Azam huda di  tahun 2019 ini untuk perbaiki solat dengan bersungguh-sungguh.  Masa kita hidup di dunia makin singkat, akhirat makin dekat. Amalan pertama yang di hisab nanti adalah solat. InshaAllah. Jom kita sama-sama baca perkongsian ilmu dari tentang solat.

Tips dan Cara Untuk Khusyuk dalam Solat


Pertama: Mengingati Mati

Mengingati kematian dapat membantu seseorang untuk mencapai kekhusyukan di dalam solat. Nabi S.A.W bersabda,

اذْكُرِ المَوتَ فِى صَلَاتِكَ فإنَّ الرَّجُلَ إِذَا ذَكَرَ المَوْتَ فِى صَلَاتِهِ فَحَرِىٌّ أْن يُحْسِنَ صَلَاتَه وَصَلِّ صَلَاةَ رَجُلٍ لَا يَظُنّ أنَّهُ يُصَلِّى صَلَاةً غيرَهَا وَإِيَّاكَ وكلَّ أمرٍ يعتذرُ مِنْهُ

Maksudnya: Ingatlah kematian dalam solatmu kerana jika seseorang mengingat mati dalam solatnya, maka ia akan mempeelokkan solatnya. Solatlah seperti solat orang yang tidak menyangka bahawa dia masih berkesempatan untuk melakukan solat yang lain. Hati-hatilah dengan perkara yang kelak kamu terpaksa meminta uzur (meralatnya) (kerana tidak mampu memenuhinya).

Riwayat Al-Baihaqi dalam Kitab Al-Zuhd

Kedua: Tidak Tergopoh Gapah Dalam Mengerjakan Solat

Di antara cara untuk mendapatkan kekhusyukan di dalam solat adalah dengan melakukannya dengan penuh ketenangan. Perbuatan gopoh-gapah di dalam solat dengan cara melakukannya dengan laju, tidak ada thoma’ninah (ketenangan) di dalam rukuk dan sujud adalah dilarang oleh Nabi S.A.W. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.Anhbeliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم دَخَلَ الْمَسْجِدَ فَدَخَلَ رَجُلٌ فَصَلَّى ثُمَّ جَاءَ فَسَلَّمَ عَلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَرَدَّ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم عَلَيْهِ السَّلاَمَ فَقَالَ ‏"‏ ارْجِعْ فَصَلِّ فَإِنَّكَ لَمْ تُصَلِّ 

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi S.A.W masuk ke dalam sebuah masjid lalu seorang lelaki juga turut masuk ke dalam masjid tersebut dan dia melakukan solat dua rakaat kemudian dia datang ke arah Nabi dan memberi salam kepada baginda. Maka Rasulullah S.A.W menjawab salam tersebut lalu berkata: Pergilah kamu dan solatlah kembali kerana sesungguhnya kamu masih belum solat.

Riwayat Al-Bukhari (793)

Ketiga: Menghayati Makna Bacaan Di Dalam Solat

Di antara cara yang dapat membantu seseorang untuk khusyuk di dalam solatnya adalah dengan meneliti dan menghayati makna-makna bacaan di dalam solatnya. Hal ini kerana, solat adalah saat berdirinya seorang hamba di hadapan Tuhannya. Justeru segala bacaan ayat di dalam solat perlulah difahami dengan baik kerana al-Quran itu sendiri merupakan kalamullah.

Hukum Khusyuk Di Dalam Solat


Para ulama berbeza pendapat dalam isu khusyuk di dalam solat. Adakah ia merupakan di antara perkara wajib di dalam solat atau ia sekadar sunat dan merupakan pelengkap kepada solat. Imam Al-Qurthubi Rahimahullah menyatakan hal ini dengan katanya: Para ulama berbeza pandangan mengenai khusyuk di dalam solat ini kepada dua pendapat:

Pertama: Ia merupakan di antara perkara fardhu (yang wajib) di dalam solat.

Di antara tokoh ulama yang berpegang dengan pendapat ini adalah Imam Abu Hamid al-Ghazali Rahimahullah. Beliau menyebutkan beberapa dalil yang menunjukkan kewajipan khusyuk di dalam solat. Di antaranya adalah firman Allah S.W.T:

وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي

Maksudnya: Dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.

Kata Imam Al-Ghazali ketika mengulas berkenaan ayat ini; Zahir perintah (mendirikan solat) adalah membawa kepada hukum wajib. Kelalaian (tidak khusyuk) adalah bercanggahan dengan sifat zikir (iaitu mengingati). Maka sesiapa yang lalai dalam keseluruhan solatnya bagaimana dia itu dikira sebagai seorang yang mendirikan solat untuk mengingati Allah.

Pandangan ini juga merupakan pendapat yang paling sahih menurut Imam al-Qurthubi. Ini dapat dilihat dari kata-kata beliau: Pendapat yang paling sahih adalah pendapat yang pertama (yang mengatakan khusyuk adalah di antara fardhu solat). Dan tempat bagi kekhusyukan adalah jantung hati. Kata ‘Ubadah bin Al-Shomit R.Anh: Khusyuk adalah ilmu yang terawal diangkat daripada manusia. Rujuk Al-Jamik Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurthubi (12/97).

Kedua: Khusyuk adalah di antara perkara sunat di dalam solat dan merupakan pelengkap bagi solat. Pendapat ini dipegang oleh Imam Al-Nawawi Rahimahullah dan beberapa tokoh selainnya.

Imam Al-Nawawi Rahimahullah mengatakan: Disunatkan untuk khusyuk di dalam solat serta tunduk, mentadabbur ayat-ayat bacaan serta zikir-zikir di dalamnya, dan berpaling dari memikirikan perkara-perkara yang tiada kaitan dengannya. Sekiranya seseorang itu berfikir tentang perkara selain dari solat serta banyak memikirkannya, solatnya tidak terbatal. Akan tetapi perbuatan itu hukumnya makruh sama ada seseorang itu memikirkan perkara-perkara yang mubah (harus) atau memikirkan perkara-perkara yang haram seperti meminum arak.

Kata Imam Al-Nawawi lagi: Telah dinukilkan ijmak bahawasanya perbuatan berfikir dan monolog dalaman adalah tidak membatalkan solat akan tetapi para ulama sepakat bahawa ianya makruh. Pendapat Imam al-Nawawi ini didasarkan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.Anh beliau berkata dan beliau memarfu’kannya kepada Nabi S.A.W:

إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ لأُمَّتِي عَمَّا وَسْوَسَتْ أَوْ حَدَّثَتْ بِهِ أَنْفُسَهَا، مَا لَمْ تَعْمَلْ بِهِ أَوْ تَكَلَّمْ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah mengampunkan umatku terhadap apa-apa yang dibisikkan kepada mereka dari perasaan was-was, ataupun monolog-monolog di dalam diri mereka selama mana mereka tidak melakukannya atau berkata-kata.

Riwayat Al-Bukhari (6664)



Post a Comment

0 Comments