Teori Pasangan Muka Seiras


Pernah tak ada orang tegur muka korang sama dengan pasangan? Huda dan encik suami dah banyak kali juga orang tegur muka kami seiras. Tapi huda tak puas hati sebab bila tengok guna mata sendiri tak tahu lah kat mana yang orang lain nampak muka kami ni seiras. Paling huda ingat, ada orang tegur kami ni macam adik beradik kembar. Aduh, sorang lahir kat Terengganu sorang lahir kat Johor..tak tahu lah kat mana tang sama yer. Korang rasa muka kami ni seiras ke???
Okay, jom huda kongsi tentang Teori yang mengatakan bagaimana pasangan boleh memiliki muka yang seiras.

Teori yang di beri nama -  Teori Assortative Mating yang menjadikan seseorang untuk lebih memilih individu yang mempunyai fizikal yang sama atau hampir sama sebagai pasangan...

Teori Assortative Mating  menyatakan kita cenderung memilih individu yang mempunyai ciri fizikal yang sama (physical phenotype) dan strata sosial yang setara.

Tambahan pula, pasangan juga cenderung untuk mempunyai tabiat, bahasa badan dan gaya yang sama dikatakan akan lebih menunjukkan ikatan emosi yang selesa dan saling mempercayai. 

FAKTA & Kajian tentang Teori Pasangan Muka Seiras


Dalam satu kajian yang dilakukan oleh seorang ahli psikologi sosial di Amerika Syarikat, Robert Zanjonc, telah membandingkan gambar pasangan yang diambil pada hari perkahwinan mereka dan gambar yang diambil 25 tahun kemudiannya.

Kajiannya menunjukkan bahawa walaupun pada awalnya pasangan suami isteri tersebut tidak mempunyai persamaan wajah langsung, namun setelah 25 tahun bersama dalam ikatan perkahwinan, raut wajah mereka kelihatan begitu seiras.


Fakta lain daripada kajian ini mengatakan semakin bahagia sesebuah perkahwinan itu, maka akan tinggi kemungkinan untuk berlaku kemiripan pada wajah kedua-dua pasangan. Anda mungkin boleh mencuba kesahihan teori ini dengan melihat wajah kedua ibu bapa anda, seiras tak?

GENETIK punca Muka Pasangan Seiras??


Menurut laporan yang dari Boston University School of Public Health dan University of California, pasangan yang seiras ini mungkin mempunyai kaitan dengan genetik. Keadaan ini boleh berlaku apabila pasangan yang dipilih itu adalah dari masyarakat setempat dan itu mungkin membuatkan mereka adalah berketurunan yang sama. 

Laporan yang diterbitkan dalam PLOS Genetics ini telah menganalisis tiga generasi keluarga kulit putih dari Framingham Heart Study (FHS). Kajian FHS yang dimulakan pada tahun 1948, melibatkan lebih 5,209 individu lelaki dan wanita yang berusia antara 30 hingga 62 tahun di bandar Framingham, Mass.

Penyelidikan ini menganalisis data genotip genom (genome-wide genotype data) atau kajian genetik terhadap 800 pasangan. Tujuan penyelidikan ini dilakukan adalah untuk menentukan ciri keturunan genetik mereka.

Menerusi catatan penyelidik di dalam jurnal tersebut “Dalam penyelidikan melibatkan pasangan suami isteri ini, penyelidik mendapati bahawa individu dari Eropah / Barat Utara, Eropah Selatan dan berketurunan Ashkenazi lebih gemar memilih pasangan daripada keturunan yang sama. Walau bagaimanapun, tahap endogami ini menurun dari setiap generasi khususnya antara Eropah / Barat Utara dan Eropah Selatan.” 


Dari Kerana Mata.....


Faktor raut wajah yang serupa mungkin menjadi antara ciri-ciri dalam mencari pasangan. Bak kata orang dari mata turun ke hati.. Atau pun Love at the first sight...hehe...

Menurut laporan kajian Personality and Social Psychology Bulletin, rata-rata individu akan tertarik kepada individu lain yang kelihatan seperti ibu bapa atau diri mereka sendiri.

Dalam dua kajian yang berasingan, responden yang terlibat dalam kajian diberikan gambar: yang pertamanya adalah gambar ibu atau bapa bersama individu asing dan yang keduanya adalah gambar individu asing dan responden sendiri.

Apabila subjek diminta untuk menentukan gambar yang mana lebih menarik perhatian, mereka biasanya akan memilih gambar individu asing dengan gambar sendiri. Keadaan ini disimpulkan sebagai satu sifat semula jadi manusia yang akan mencari sesuatu yang biasa mudah untuk mereka ramalkan.

Menurut pakar mencari pasangan, Chantal Heide yang telah melakukan penyelidikannya sendiri, turut melihat corak serupa seperti kajian yang dilakukan oleh ahli psikologi sosial, Robert Zanjonc.

Chantal menyatakan, apabila seseorang individu melihat seseorang yang menyerupai mereka, maka secara automatik akan wujud rasa kepercayaan di dalam otak. Bagi individu yang meletakkan syarat kepercayaan sebagai satu sifat penting dalam pasangan, tanpa sedar akan tertarik kepada mereka yang mempunyai raut wajah seiras.

Seiras kah kami?

Bagi huda, jodoh pertemuan semua ketentuan Allah kan, ada yang seiras  ada juga yang tak. Tapi apa-apa pun , huda bersyukur, sebab ramai doakan sebab muka seiras ni, sekali jumpa orang mesti orang cakap..
Muka sama ni, mesti jodoh panjang 

Tapi sekarang kami dua-dua makin sihat a.k.a makin gemuk, haha...dan orang mula lah berkata

Bahagianya tengok korang, makin sihat

Kata-kata kan doa.. hehe. Okay, sekian lah membebel tentang teori pasangan muka seiras. Huda doakan yang masih mencari jodoh tu, Allah permudahkan jodoh korang untuk tahun 2020 yang bakal tiba minggu depan. Yang sudah berkahwin tu, sentiasa berusaha menjadikan rumah tangga sebagai syurga dunia yang terindah. Bahagia itu milik semua dan ia berada di depan mata kita.  

No comments