9 Hikmah Solat Pada Tubuh Badan


Salam Jumaat yang berkat. Jom hari ni kita kongsi imu tentang solat. Huda bukan nak cerita bagaimana nak lakukan solat , tapi huda nak cerita apa yang berlaku semasa kita solat. 

Perkongsian ilmu ini adalah berdasarkan kajian solat yang dijalankan oleh Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya (UM) diketuai oleh Prof. Madya Dr. Fatimah Ibrahim serta Prof. Dr. Wan Abu Bakar Wan Abas dan Ng Siew Cheok menerusi pembiayaan daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM).

9 Hikmah Solat Pada Tubuh Badan 


1) Pergerakan solat yang melibatkan keadaan berdiri tegak, rukuk, duduk dan sujud secara tertib dan berulang boleh diumpamakan sebagai senaman ringan.

Hasil kajian komposisi badan semasa seseorang bersolat Zohor secara jemaah dengan 47 orang peserta berusia 18 hingga 28 tahun. Pengukuran analisis bioimpedans (BIA) (kaedah yang digunakan untuk mengukur komposisi badan) diambil sebelum dan selepas solat Zohor secara berjemaah. Bagaimanapun lima tabiat lazim peserta perlu diambil kira meliputi amalan solat yang sempurna, tahap pemahaman bacaan, menunaikan solat secara berjemaah atau sendirian, kedudukan tulang belakang semasa rukuk dan keadaan jari kaki semasa sujud, duduk antara dua sujud dan tahiyat akhir.

Dr. Fatimah berkata, keputusan menunjukkan mereka yang mengamalkan solat yang sempurna mempunyai tahap kesihatan yang lebih baik berbanding mereka yang tidak melakukannya dengan sempurna.

2) Solat lima kali sehari semalam selain ibadah dapat mengurangkan lemak dalam badan. Apabila gumpalan lemak dalam badan berkurangan, tisu otot baru meningkat, memenuhi ruang, melambatkan proses penuaan dan kekenduran tisu. 

3) Tabiat mengamalkan kedudukan tulang belakang lurus melintang ketika rukuk melambatkan proses penuaan, tisu bertambah aktif, proses imbangan air dalam badan lebih baik dan melancarkan fungsi buah pinggang.

4) Sistem jantung dan kardiovaskular amat penting bagi kesihatan manusia dan dipengaruhi oleh kekenyalan arteri. Jika kekenyalan arteri terutama di bahagian jantung berkurangan, ia boleh menyebabkan berlaku penyakit arterioskerosis koronari. Pengekalan kekenyalan arteri amat penting dalam memelihara sistem kardiovaskular yang sihat.

Ibadat solat, kata Dr. Fatimah, bukan saja melibatkan bacaan surah al-Quran tetapi juga pergerakan anggota badan seperti berdiri, rukuk, sujud dan duduk tahiyat. Kajian menunjukkan kedudukan seperti rukuk, sujud dan duduk membantu memberikan keadaan rehat kepada jantung.

Tips :  kita digalakkan memanjangkan tempoh posisi sujud kerana kedudukan ini menghasilkan kadar denyutan jantung paling rendah. 


5) Kajian yang dilakukan ke atas gelombang otak yang dihasilkan ketika bersolat pada setiap posisi seperti rukuk, sujud, iktidal dan duduk semasa tahiyat. Solat jelas secara umumnya melibatkan pembacaan serta penghayatan ayat suci al-Quran, doa-doa serta pergerakan yang didapati menyamai meditasi.Semasa solat, berhenti seketika sebelum bertukar posisi atau tamakninah boleh dikatakan seseorang berada dalam ketenangan. 

Dalam kajian ini isyarat otak subjek Muslim yang bersolat direkod dan dianalisis, di mana dua kajian saintifik dilakukan iaitu perubahan isyarat otak semasa tamakninah dan kesan solat kepada isyarat otak.

Hasil kajian mendapati ibadat solat menghasilkan keadaan tenang kepada otak manusia dan menunaikan solat amat baik dalam mengekalkan tahap kestabilan mental dan emosi seseorang.

6) Kajian ini juga menunjukkan ibadat solat dapat meningkatkan penumpuan dan daya ingatan. Dengan solat dapat menyediakan otak untuk lebih bersedia dalam menghadapi tugas-tugas yang lebih mencabar. Biasanya selepas melakukan solat, seseorang akan menjadi lebih berwaspada untuk bertindak balas terhadap sebarang rangsangan. 

7 ) Pergerakan solat meliputi berdiri tegak, rukuk, sujud dan duduk melibatkan pergerakan seluruh otot tubuh badan. Pergerakan otot-otot secara isotonik dan isometrik meningkatkan fungsi dan kekuatan otot dan kajian yang dilakukan merangkumi otot utama yang penting kepada kesihatan manusia.

8) Ibadah solat melibatkan banyak pergerakan relatif antara sendi selain postur tertentu semasa solat juga meletakkan otot pada kedudukan mengecut, santai atau mengembang.
Terapi senaman melalui pergerakan solat yang betul dapat mengembalikan keupayaan kelenturan badan, mengekalkan postur badan yang ideal dan membantu mengurangkan sakit pinggang.

Dr. Fatimah berkata, pergerakan solat terutama rukuk dan sujud didapati menyamai beberapa pergerakan senaman stabilisasi dan regangan belakang.

"Pergerakan rukuk hampir sama dengan senaman 'selamat pagi' yang bukan saja dapat membantu regangan otot pada bahagian paha tetapi juga melatih koordinasi otot belakang kaki," katanya yang juga menjalankan kajian mengenai solat dan sakit pinggang.

Kajian yang dijalankan merumuskan pergerakan dalam solat dapat memberikan kebaikan dalam memulihkan dan membantu mengembalikan kenormalan fungsi aktiviti otot erektor spina terutama bagi mereka yang mengalami sakit pinggang.

Justeru, jelas beliau pergerakan rukuk semasa solat boleh digunakan sebagai terapi untuk merawat sakit pinggang.

9) Pergerakan fizikal atau senaman sederhana secara berterusan dapat mencergaskan sistem andrologi dan meningkatkan kekuatan tenaga batin lelaki. Solat fardu yang dilakukan lima kali sehari di samping solat sunat serta sunat tahajud sebagai pelengkap ibadah merupakan satu terapi yang memberikan kesan positif ke atas sistem andrologi dan kekuatan tenaga batin lelaki.

Kajian yang dijalankan menunjukkan senaman pengaktifan otot lantai pelvik oleh penyelidik Van Kampen membuktikan senaman dapat melancarkan pengaliran darah dan mengurangkan masalah disfungsi ereksi atau mati pucuk.

Sungguh indah islam ni kan? Amalan yang Allah wajibkan kita tunaikan 5 waktu sehari penuh dengan hikmahnya. Semoga Allah pilih kita semua menjadi hamba-hambaNya yang mengerjakan solat dengan sempurna. Jom kita perbaiki solat kita, agar hidup lebih tenang, dan kesihatan lebih baik. InshaAllah.

Post a Comment

3 Comments

Azlinda said…
setuju sangat ni
Umi Nazrah said…
alhamdulillah, tubuh badan sihat dapatlah kita solat dengan lebih khusyuk :)
Sue Izza said…
tq for sharing..