Shopee Bekerjasama dengan Agensi Kerajaan untuk Memperkasakan Penjual Tempatan dengan Ilmu Pengetahuan Regulasi Kerajaan
Shopee Malaysia baru-baru ini menamatkan siri kedua Shopee Digital Platform Upskilling Summit, sebuah inisiatif perintis yang memperkasakan lebih daripada 1,000 penjual tempatan dengan ilmu pengetahuan penting tentang regulasi Kerajaan. Dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan, program yang terbahagi kepada lima siri dan yang pertama seumpamanya dalam industri, membincangkan tentang kerumitan pematuhan undang-undang, ketulenan produk, dan kepercayaan pengguna. Inisiatif ini selaras dengan usaha kerajaan untuk memperkasakan PMKS dan pekerja gig, sambil memupuk pertumbuhan mampan dalam ekonomi digital Malaysia.
Siri Pertama
Siri pertama sidang kemuncak ini memperkenalkan penjual kepada aspek kritikal pematuhan regulasi. Pakar dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) membawakan maklumat tentang pendaftaran perniagaan, sesi Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) merangkumi topik pensijilan produk, manakala Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) membincangkan perlindungan harta intelek. Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (PCD) Kementerian Kesihatan Malaysia juga berkongsi panduan mengenai peraturan produk kecantikan dan penjagaan kulit.
Siri Kedua
Siri kedua pula membincangkan regulasi kerajaan dengan lebih mendalam. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi nasihat kepada penjual tentang undang-undang pengiklanan makanan, manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membimbing penjual tentang selok-belok peraturan harga dan barang tiruan. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memberi tumpuan kepada kesedaran Halal, mendidik penjual mengenai proses pensijilan dan memastikan produk mereka mematuhi undang-undang pemakanan Islam.Md. Zaki bin Abd Samad, Ketua Sektor (Pencegahan) di KPDN Selangor, menyatakan penghargaan beliau terhadap sidang kemuncak ini, dengan berkata,
“Sidang kemuncak ini telah memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang antara penjual dan pihak berkuasa. Format hibrid, yang menggabungkan sesi bersemuka dengan penyertaan dalam talian, membolehkan kami berinteraksi secara langsung dengan penjual, menjawab soalan mereka, dan menjelaskan peraturan rumit. Interaksi ini dapat membantu penjual daripada terlibat dengan masalah undang-undang dan meningkatkan keyakinan mereka untuk mematuhi peraturan.”
Badruzzaman bin Abdul Rahim, Ketua Penolong Pengarah Kanan dari Program Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM mengetengahkan nilai pendidikan sidang kemuncak ini,
“Program ini merupakan platform yang sangat baik untuk penjual Shopee memahami dengan lebih mendalam tentang peraturan pengiklanan makanan. Adalah penting label produk dan iklan mematuhi undang-undang. Sesi ini melengkapkan penjual dengan ilmu pengetahuan yang diperlukan untuk mematuhi undang-undang dengan yakin lalu memupuk pasaran yang bertanggungjawab dan boleh dipercayai.”
Peserta juga mendapat manfaat daripada sesi Shopee University yang berkongsi tentang kaedah untuk meningkatkan trafik ke kedai, meningkatkan jualan, dan mengoptimumkan penyenaraian menggunakan alat canggih seperti ChatGPT.
Penjual yang menghadiri sidang kemuncak turut berkongsi pandangan mereka tentang program ini. Bibi Farizona Mahdi, pemilik Umairah Homemade Cakes di Shopee, berkata,
“Program ini amat berinformatif untuk memahami lebih lanjut tentang regulasi kerajaan. Maklumat yang disampaikan adalah penting untuk kami patuhi dan selanjutnya boleh membantu memajukan perniagaan kami.” Wu Chih Ping, Pengurus Besar Jualan Tempatan dari Chek Hup, jenama kopi terkenal Malaysia, berkata, “Kerjasama Shopee dengan agensi kerajaan telah meningkatkan keyakinan saya terhadap platform ini. Komitmen mereka dalam membantu kami memahami isu pematuhan regulasi membina kepercayaan dan melengkapkan kami dengan ilmu pengetahuan yang bermakna.”
Tan Ming Kit, Ketua Pemasaran dan Pengurusan Data di Shopee Malaysia berkata,
“Komitmen kami lebih daripada sekadar menyediakan alat perniagaan untuk berjaya. Kami faham penjualan dalam talian juga memerlukan pematuhan rangka kerja industri seperti regulasi pendaftaran perniagaan, iklan, perlindungan data, dan pembayaran. Dengan membina kerjasama yang berkesan dengan agensi kerajaan dan pihak berkepentingan, kami berusaha untuk memperkukuh ekosistem e-dagang dan memperkasakan penjual tempatan. Kami akan terus berusaha untuk memenuhi potensi penjual sepenuhnya yang memajukan ekonomi digital Malaysia. Bersama-sama, kita boleh memberi impak yang berkekalan dan menyokong pertumbuhan usahawan kita.”
0 Comments