Kepentingan Istighfar - Pelbagai Masalah Hidup Pasti Mudah Dengan Izin Allah




Kepentingan Istighfar - Pelbagai Masalah Hidup Pasti Mudah Dengan Izin Allah |
Tahun 2022 ni, banyak juga cabaran dan ujian Allah hadiahkan. Selagi kita hidup memang akan sentiasa di uji. Walau sekecil atau sebenar mana dugaan yang datang, hati kena lapang dan bersih terima dengan redha. Bagaimana nak dapat hati yang bersih?  Agama Islam telah mengajarkan kita beberapa langkah bagi menjernih dan membersihkan hati dan jiwa kita daripada sebarang dosa dan maksiat iaitu dengan memperbanyakkan zikir, taubat dan istighfar. Hakikat istighfar dalam agama Islam itu adalah untuk menundukkan jiwa, hati dan fikiran kepada Allah Subhanahu Wata'ala sambil memohon ampun kepadaNya dari segala dosa. Kerana ujian yang datang adalah kifarah dosa kita dan Allah nak kita semakin dekat denganNya.


Kepentingan Istighfar - Pelbagai Masalah Hidup Pasti Mudah Dengan Izin Allah

Kisah  Imam Hasan al-Basri  Dan Kelebihan Istigfar


Kisah pesanan Imam Hasan al-Basri yang didatangi beberapa orang meminta bantuan dan nasihatnya.

“Ada seseorang bertanyakan tentang keadaannya yang miskin, lalu Imam Hasan al-Basri menasihatkan orang itu supaya meminta keampunan kepada ALLAH. Datang pula lelaki kedua yang berkata dirinya menghadapi musim kemarau, lalu Imam Hasan al-Basri menyuruh lelaki itu memohon keampunan ALLAH.

“Jawapan sama turut diberikan kepada individu yang datang mengadu tidak mendapat zuriat dan menyatakan kebunnya tidak menjadi. Ternyata semua jawapan yang sama itu menghairankan masyarakat di sekelilingnya,” katanya.

Imam Hasan al-Basri turut membacakan petikan Surah Nuh, ayat 10 hingga 13 yang berbunyi:

 “Maka aku berkata (kepada mereka), mohonlah keampunan kepada Tuhanmu, sesungguhnya DIA MAHA PENGAMPUN. Nescaya DIA akan menurunkan hujan yang lebat dari langit kepadamu dan DIA berikan harta dan anak-anak yang banyak dan diadakan kebun-kebun serta sungai-sungai untukmu.


Sesungguhnya perintah bertaubat dan beristighfar itu bukan hanya bagi orang yang berbuat maksiat dan berbuat dosa semata-mata, malah kita semua adalah dituntut untuk sentiasa bertaubat dan beristighfar itu serta jangan sekali berputus asa dengan rahmat Allah Subhanahu Wata'ala. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam surah Al-Zumar ayat 53-54 tafsirnya:

“Katakanlah (sampaikanlah firmanKu itu wahai Nabi Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dialah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih. Dan kembalilah (bertaubatlah) kepada Tuhan kamu serta berserah dirilah kepadaNya sebelum datang azab ke atas kamu, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan.”

Terdapat banyak fadhilat ataupun kelebihan yang dikurniakan Allah Subhanahu Wata'ala bagi mereka yang mengamalkan istighfar. Adapun antara kelebihan istighfar itu ialah:

  • Memperolehi keampunan daripada Allah Subhanahu Wata'ala.
  • Menyenangkan hati dari kegelisahan dan gundah-gulananya.
  • Mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala.
  • Memperolehi perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala dari tipu daya dan hasutan syaitan.
  • Memperolehi keutamaan dan anugerah daripada Allah Subhanahu Wata'ala berupa nikmat bagi sesiapa yang mengamalkan seperti diberi kelapangan, kesenangan, kesihatan serta rezeki yang melimpah. 

Daripada Ibnu Abas Radiallahu Anhuma, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda yang bermaksud:
 Sesiapa yang selalu beristighfar nescaya Allah akan menjadikan baginya kemudahan bagi setiap kesempatan, kesenangan bagi setiap kesedihan dan memberi rezeki tanpa diduga olehNya.” (Hadis riwayat Imam Abu Daud)



Amalan zikir Istighfar ini sangat penting dalam kehidupan kerana terdapat banyak fadhilat ataupun kelebihan yang dikurniakan Allah Subhanahu Wata'ala kepada sesiapa yang membaca dan mengamalkan istighfar itu diabaikan apatah lagi dilupakan.

Sedangkan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam sendiri menjadikan istighfar itu sebagai amalan harian. Betapa pula kita yang hanya sekadar insan biasa. Walaupun Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam seorang yang maksum atau bebas daripada dosa, baginda tetap beristighfar setiap hari sebanyak seratus kali agar dipelihara daripada melakukan perkara-perkara yang menyebabkan dosa, oleh yang demikian, marilah kita sentiasa berdoa memohon perlindungan daripada Allah Subhanahu Wata'ala , mudah-mudahan segala taubat dan istighfar kita diterima Allah Subhanahu Wata'ala. Amin Ya Rabbal Alamin.


ISTIGFAR Vs TAUBAT 

Amalan istighfar itu perkataannya lebih umum. Ini bermakna sesiapa saja boleh beristighfar untuk perkara-perkara umum tanpa mengira apa jenis masalah kita.
Namun, tidak pada taubat yang mana ia lebih khusus dan kemudian mengandungi ikrar dan sumpah.

Semoga kita semua dipilih oleh Allah menjadi hambaNya yang melazimi istigfar setiap hari , dan sentiasa berusaha untuk bertaubat atas dosa-dosa kita. Selagi pintu taubat masih terbuka, kita masih berpeluang meraih rahmat kasih sayang Allah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. 

Post a Comment

0 Comments