Mufti Wilayah Persekutuan Suruh Alumni METAMORPHOSIS Taubat!!!


Mufti Wilayah Persekutuan Suruh Alumni METAMORPHOSIS Taubat!!! | Huda mula ikuti perkongsian tentang pengajar Metamorphosis iaitu Tuan Afnan Rosli selepas ada rakan blogger yang berkongsi ilmu dan kesan positif selepas hadiri kelas beliau. Jadi tertarik pada awalnya, namun dengan izin Allah , ada rakan lain berkongsi tentang ilmu yang di ajarkan bercanggah dengan hukum islam. Syukur, huda hanya membaca sahaja perkongsian beliau, langsung tak pernah pergi kelas mahupun mengamalkan sebarang ritual yang boleh memesongkan akidah islam. 


Bagi ribuan rakyat Malaysia yang sudah menghadiri dan mengamalkan ilmu yang diperturunkan di kelas METAMORPHOSIS harap anda semua baca dengan teliti apa yang dinukilkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan iaitu DATUK DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI


Huda hanya nak highlight beberapa Masalah Dalam Modul Seminar Metamorphosis seperti yang di kongsikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan : -

  • “Teknik” Berdoa

Berdasarkan apa yang telah kami peroleh, antara teknik yang diajarkan adalah sebagaimana susunan berikut:
  1. Pejam mata
  2. Tutup lampu
  3. Duduk bersila
  4. Bernafas secara perlahan
  5. Tarik nafas 4 saat, tahan 4 saat, hembus nafas 4 saat
  6. Imagine ada satu cahaya depan kita dan install dalam minda kita apa yang kita nak
  7. Saya nak KAYA, BAIK, SIHAT, CANTIK, SELAMAT, PANJANG UMUR, BAHAGIA
  8. Ulang step 4, 5, 4 dan 5
  9. Tengok cahaya tadi, dan ulang step 4,remove the negative thing dalam diri kita
  10. Remove marah, benci, takut, dendam, rasa lemah
  11. Ulang step 4
  12. Dan submit dalam diri kita the positive things
  13. Saya nak KAYA, BAIK, SIHAT, CANTIK, SELAMAT, PANJANG UMUR, BAHAGIA
  14. Ulang step 4
  15. Tangan di dada, dan ucap syukur, terima Kasih Ya Allah, ucap syukur kepada Allah SWT kerana panjang kan umur saya, umur Mak Ayah Suami Isteri Anak2 saya, bagi saya tempat tinggal, bagi saya makan, bagi saya sihat, syukur dan sayang kepada semua anggota badan kita, peluk badan kita ucap terima kasih, ucap sayang dan cinta pada diri kita sendiri
  16. Ulang step 4
  17. Buka mata, senyum dan peluk orang sekeliling, tepuk dada kata GOODJOB.

Begitu juga teknik lain yang diajarkan seperti:
  • All abudance (kecukupan) is already available around us in the form of electromagnetic.
  • Our antenna is located at our spine => connects us to the cosmos.
  • Sit straight 90◦
  • Feet to the ground (grounding)
  • Deep breathing = give sense of purpose. Fast breathing shortens life. Slow breathing extends life: to set mind at alpha mode.
  • Cleansing = erase all negative thoughts and feels, fill in with positive thoughts and feel.
  • Fill in gratitude.
  • Appreciate your body.
  • Primer: Install strength.
  • Palm upwards => receiving mode.
  • Palm downwards => shielding mode to prevent energy disturbances.

Ulasan

Sebelum melihat lebih jauh berhubung teknik-teknik yang diajarkan oleh segelintir kecil motivator dan Perunding Latihan Muslim berkenaan dalam berdoa, kami nukilkan di sini satu panduan yang cukup baik daripada Imam al-Qurtubi. Menurut beliau:

Adalah wajar bagi seseorang individu menggunakan doa-doa di dalam Al Qur-an dan hadith-hadith yang sahih serta meninggalkan selainnya. Janganlah dia mengatakan, ‘Saya telah memilih doa sendiri.’. Ini kerana Allah SWT telah memilihkan pelbagai doa kepada nabi dan para wali-Nya dan mengajarkan kepada mereka bagaimana sewajarnya mereka berdoa.”[10]

Kami tidaklah menyatakan dengan yakin bahawa kesemuanya yang diajarkan ini adalah salah. Namun, untuk menyatakan teknik ini adalah yang tepat, maka ia tidak benar. Berhubung dengan teknik-teknik sebegini, kami tidak menemuinya dalam pengamalan Rasulullah SAW dan juga para sahabat radhiallahu ‘anhum. Jika ada teknik berdoa yang tepat yang menjamin kemakbulan doa, ini bermakna kaedah berdoa Nabi SAW adalah tidak tepat kerana pernah doa Nabi SAW tidak dimakbulkan.

صَلَّى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلاَةً فَأَطَالَهَا، فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، صَلَّيْتَ صَلاَةً لَمْ تَكُنْ تُصَلِّيهَا، قَالَ: أَجَلْ إِنَّهَا صَلاَةُ رَغْبَةٍ وَرَهْبَةٍ، إِنِّي سَأَلْتُ اللَّهَ فِيهَا ثَلاَثًا فَأَعْطَانِي اثْنَتَيْنِ وَمَنَعَنِي وَاحِدَةً، سَأَلْتُهُ أَنْ لاَ يُهْلِكَ أُمَّتِي بِسَنَةٍ فَأَعْطَانِيهَا، وَسَأَلْتُهُ أَنْ لاَ يُسَلِّطَ عَلَيْهِمْ عَدُوًّا مِنْ غَيْرِهِمْ فَأَعْطَانِيهَا، وَسَأَلْتُهُ أَنْ لاَ يُذِيقَ بَعْضَهُمْ بَأْسَ بَعْضٍ فَمَنَعَنِيهَا

Maksudnya: Nabi pernah melakukan solat yang amat panjang. Melihat hal tersebut para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah. Engkau solat bukan seperti biasa.” Baginda menjawab, “Ya, benar. Solatku itu adalah shalat raghbah (penuh harap) dan rahbah (takut kepada-Nya). Dalam solatku itu aku memohon kepada Allah 3 perkara, Dia mengabulkan dua perkara sedangkan satunya lagi tidak dikabulkan. Aku memohon agar umatku tidak binasa oleh bencana kelaparan, maka Dia mengabulkan permohonan ini. Aku memohon agar umatku tidak dikuasai oleh musuh dari luar mereka, Dia pun mengabulkannya. Namun ketika aku memohon agar umatku tidak merasakan kekejaman sesama mereka sendiri, Dia tidak mengabulkannya.” (Riwayat al-Tirmizi, no. 2175)

Nasib yang berlaku dalam hidup manusia tidak berlaku dengan usaha manusia semata-mata sebaliknya ia adalah kehendak Allah SWT. Manusia hanya mampu berusaha dalam keadaan mengakui potensi dan kelemahan diri tetapi yang menentukannya adalah Allah SWT. Inilah sebagai yang dijelaskan oleh Imam al-Sanusi dalam al-Muqaddimat dan inilah kefahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Ketakutan Nabi SAW ketika berdoa lebih jelas ketika peristiwa Perang Badar. Saidina Umar al-Khattab menceritakan:

لَمَّا كَانَ يَوْمُ بَدْرٍ نَظَرَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى الْمُشْرِكِينَ وَهُمْ أَلْفٌ، وَأَصْحَابُهُ ثَلَاثُ مِائَةٍ وَتِسْعَةَ عَشَرَ رَجُلًا، فَاسْتَقْبَلَ نَبِيُّ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْقِبْلَةَ، ثُمَّ مَدَّ يَدَيْهِ، فَجَعَلَ يَهْتِفُ بِرَبِّهِ: «اللهُمَّ أَنْجِزْ لِي مَا وَعَدْتَنِي، اللهُمَّ آتِ مَا وَعَدْتَنِي، اللهُمَّ إِنْ تُهْلِكْ هَذِهِ الْعِصَابَةَ مِنْ أَهْلِ الْإِسْلَامِ لَا تُعْبَدْ فِي الْأَرْضِ»، فَمَا زَالَ يَهْتِفُ بِرَبِّهِ، مَادًّا يَدَيْهِ مُسْتَقْبِلَ الْقِبْلَةِ، حَتَّى سَقَطَ رِدَاؤُهُ عَنْ مَنْكِبَيْهِ، فَأَتَاهُ أَبُو بَكْرٍ فَأَخَذَ رِدَاءَهُ، فَأَلْقَاهُ عَلَى مَنْكِبَيْهِ، ثُمَّ الْتَزَمَهُ مِنْ وَرَائِهِ، وَقَالَ: يَا نَبِيَّ اللهِ، كَفَاكَ مُنَاشَدَتُكَ رَبَّكَ، فَإِنَّهُ سَيُنْجِزُ لَكَ مَا وَعَدَكَ، فَأَنْزَلَ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ: {إِذْ تَسْتَغِيثُونَ رَبَّكُمْ فَاسْتَجَابَ لَكُمْ أَنِّي مُمِدُّكُمْ بِأَلْفٍ مِنَ الْمَلَائِكَةِ مُرْدِفِينَ} [الأنفال: 9] فَأَمَدَّهُ اللهُ بِالْمَلَائِكَةِ

Maksudnya: “Ketika Perang Badar, Rasulullah SAW melihat kepada kaum musyrikin dan mereka berjumlah 1000 orang sedangkan para sahabatnya berjumlah 319 orang, lalu Nabi SAW menghadap ke kiblat, mengangkat tangan berdoa kepada Tuhannya:

‘Ya Allah, penuhilah bagiku apa yang telah Engkau janjikan kepadaku. Ya Allah, datangkanlah apa yang telah engkau janjikan kepadaku. Ya Allah, jika Engkau hancurkan golongan Muslim, Engkau tidak akan disembah di muka bumi ini.’

Maka terus Rasulullah SAW berdoa kepada Tuhanya dengan mengangkat kedua tangan menghadap kiblat, sampai terjatuh selendangnya dari kedua bahunya, maka datanglah Abu Bakar RA dan mengambil selendangnya serta memakaikan kembali di atas bahunya dan menguatkan di belakangnya sambil berkata, “Wahai Nabi Allah, cukuplah permohonanmu kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia akan memenuhi bagimu apa-apa yang telah dijanjikan kepadamu.’ Maka turunlah ayat:

“(Ingatlah), ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhanmu, lalu diperkenankan-Nya bagimu: ‘Sesungguhnya Aku akan mendatangkan bala bantuan kepadamu dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut.” (Surah al-Anfal: 9)

Maka Allah mendatangkan bantuannya dengan kedatangan para malaikat. (Riwayat Muslim, no. 1763)

Jelas dalam doa Nabi SAW, kerisauan dan kebimbangan Baginda akan kekalahan tentera Islam. Dengan izin-Nya, doa tersebut makbul dan tentera Islam beroleh kemenangan.


  • Perasaan Adalah Doa (Feeling is Prayer)


Kami mengambil maklum bahawa modul ini telah pun digugurkan setelah timbul beberapa isu pada pendekatan dan pemahaman pada modul ini. Namun, ianya masih berlegar dalam kalangan pengikutnya dan difahami dengan kefahaman yang tidak benar.

Motivator ini menulis di Facebook beliau, “Saya nak menulis ni pun saya tak tahu nak mula dari mana sebenarnya. Tapi yang pasti saya nak cakap Allah tu baik. Sangat baik. Kita mintak apa pun Dia bagi. Semua Dia bagi sebijik macam kita mintak. Takde satu pun doa yang Allah tak makbul. Semua makbul. Tinggal lagi cara kita doa tu betul ke tak je. Mulut mintak lain, hati rasa lain. Yang dalam hati tu lah yang makbul. Because feelings are the prayers...”

Beliau juga berkongsi di Facebook… “Kisah saya pulak macamni. Masa malam raya haritu, adik saya masuk ICU. Adik lagi sorang pula bersalin malam raya. Jadi kita gembira dan sedih dalam satu masa yang sama. Bila adik masuk ICU tu. Mak saya cakap kat saya. Abang long, tolong doa lah cara awak. Sebab mama tak boleh doa. Mama ada fear. (Kan saya kata, what ever we fear, itu lah doa kita. Because feelings are prayers).

Dalam status Facebook yang lain, beliau menyatakan: “Berdoalah dalam keadaan yakin. No doubt, no fear, no worries. But feels that it already happens. Syukur that all your wishes and desires are already being granted.”

Ada yang berkongsi pengalaman: “One day tu aku ade follow satu page someone ni sebut feeling are prayers baru aku dpt kesan kesalahan yang aku wat rupenya aku doa dlm keadaan desperate keadaan yang "akan jadi" Lepas tu terus tukar cara doa be a present moment bukan "akan jadi" Alhamdulillah Alhamdulillah Alhamdulillah setiap hari Syafiq keluar perkataan baru Syukur Alhamdulillah😭 Just tukar cara doa. nothing impossible.”

Segelintir yang lain menjelaskan: “Apa Nak Gaduh Isu Pasal "Feeling Is Prayer"?! Faham Jer Konsep Ni! Apa Yang Kita Cakap-Lihat-Dengar Dan Fikir Adalah Doa! Bukankah 4 Perkara Itu Melahirkan #Feeling?! So, Feeling Is Prayer Itu Konsepnya Sama La Dengan Apa Yang Kita Cakap-Lihat-Dengar Dan Fikir Adalah Doa!”

Adakah benar perasaan itu satu doa? Adakah benar kita tidak boleh berdoa dalam keadaan negatif seperti risau dan takut? Apakah keabsahan kata-kata yang sering diulang-ulang iaitu “Apa yang kita cakap-lihat-dengar dan fikir adalah doa."

Ulasan

Berdoa dengan penuh perasaan adalah satu kelaziman bagi seseorang. Tambahan pula seseorang Muslim yang amat mengharapkan kepada sesuatu, takut akan terjadi sesuatu, maka berdoa kepada Allah SWT adalah langkah yang utama. Risau dan takut ketika berdoa dan ketika memikirkan dosa adalah perkara biasa bagi seorang manusia, bahkan itulah antara sifat seorang Mukmin. Sabda Nabi SAW

إِنَّ المُؤْمِنَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَأَنَّهُ قَاعِدٌ تَحْتَ جَبَلٍ يَخَافُ أَنْ يَقَعَ عَلَيْهِ، وَإِنَّ الفَاجِرَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَذُبَابٍ مَرَّ عَلَى أَنْفِهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya seorang Mukmin itu melihat dosa-dosanya seolah-olah dia berada di kaki sebuah gunung, dia khuatir gunung itu akan menimpanya. Sebaliknya, orang yang derhaka melihat dosa-dosanya seperti seekor lalat yang hinggap di atas hidungnya, dia mengusirnya dengan tangannya –begini–, maka lalat itu terbang.” (Riwayat al-Bukhari, no, 6308)

Kami bawakan di sini beberapa bukti daripada al-Qur’an dan Hadith bahawa berkenaan hal ini. Firman Allah SWT:

إِنَّهُمْ كَانُوا يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَيَدْعُونَنَا رَغَبًا وَرَهَبًا

Maksudnya: Sesungguhnya mereka itu (para Nabi) sentiasa bersegera dalam melakukan perkara kebaikan. Dan mereka berdoa kepada Kami dalam keadaan penuh harap dan rasa takut. (Surah al-Anbiya’: 90)

Ayat di atas ini sebelumnya menceritakan berkenaan beberapa orang para Nabi dan juga permintaan yang mereka lakukan. Nabi Ayyub alaihissalam berdoa kepada Allah SWT untuk memberikan kesembuhan kepada penyakit yang menimpanya, lalu Allah mustajabkan. Nabi Yunus alaihissalam berdoa supaya diselamatkan dari musibah yang menimpa dirinya saat berada di dalam perut ikan Nun, kemudian Allah mustajabkan doanya. Berikutnya, Nabi Zakaria alaihissalam juga berdoa supaya dikurniakan zuriat, lalu Allah SWT memustajabkannya dengan mengurniakan Nabi Yahya sebagai anak. Ketiga-tiga para Nabi ini dimustajabkan doa mereka kerana berdoa dalam keadaan penuh harap dan takut kepada Allah SWT.

Membaca doa Nabi Zakaria misalnya, ianya penuh dengan pengakuan kelemahan dan kekurangan serta pengharapan yang amat tinggi kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT:

وَإِذَا غَشِيَهُمْ مَوْجٌ كَالظُّلَلِ دَعَوُا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ فَلَمَّا نَجَّاهُمْ إِلَى الْبَرِّ فَمِنْهُمْ مُقْتَصِدٌ وَمَا يَجْحَدُ بِآيَاتِنَا إِلَّا كُلُّ خَتَّارٍ كَفُورٍ

Maksudnya: “Dan (orang-orang yang tidak bersifat demikian) apabila mereka dirempuh serta diliputi oleh ombak yang besar seperti kelompok-kelompok awan menyerkup, pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadaNya semata-mata. Kemudian bila sahaja Allah menyelamatkan mereka ke darat maka sebahagian sahaja di antara mereka yang bersikap adil (lalu bersyukur kepada Allah serta mengesakanNya). Dan sememangnya tiada yang mengingkari bukti-bukti kemurahan Kami melainkan tiap-tiap orang yang bersifat pemungkir janji, lagi amat tidak mengenang budi.” (Surah Luqman: 32)

Kita juga tidak akan menemui kaedah berdoa “be present” dalam Islam iaitu dengan mengandaikan seolah-olah sudah mendapat apa yang diminta seperti yang diajarkannya. Hal sebegini bukanlah daripada Sunnah Nabi SAW sedangkan kita sedia maklum bahawa Nabi SAW adalah insan yang perlu dicontohi daripada segala aspek kehidupan.


  • Kesalahan Mendefinisikan “Tawakkal”

Kata penganjur dalam satu satu hantaran di Facebook: Sebab tu Allah kata, bila berazam terus Tawakkal. This tawakkal ini ialah no fear, no doubt, no grief, no anxiety, nothing. TRUST 1000%. Baru menjadi.

Ulasan

Kami bawakan sebuah hadith Nabi SAW:

لَوْ أَنَّكُمْ تَوَكَّلُونَ عَلَى اللَّهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ، لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقُ الطَّيْرَ، تَغْدُو خِمَاصًا، وَتَرُوحُ بِطَانًا

Maksudnya: “Seandainya kalian bertawakal kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, Allah akan memberi kalian rezeki sebagaimana Allah memberi rezeki kepada seekor burung yang pergi dalam keadaan lapar dan kembali dalam keadaan kenyang.”

Ibnu Rajab menyatakan bahawa hakikat tawakal adalah:

هُوَ صِدْقُ اعْتِمَادِ الْقَلْبِ عَلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ فِي اسْتِجْلَابِ الْمَصَالِحِ، وَدَفْعِ الْمَضَارِّ مِنْ أُمُورِ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ كُلِّهَا، وَكِلَةُ الْأُمُورِ كُلِّهَا إِلَيْهِ، وَتَحْقِيقُ الْإِيمَانِ بِأَنَّهُ لَا يُعْطِي وَلَا يَمْنَعُ وَلَا يَضُرُّ وَلَا يَنْفَعُ سِوَاهُ

Maksudnya: “Benarnya penyandaran hati kepada Allah SWT dalam meraih maslahah dan menolak mudarat berhubung urusan dunia dan akhirat, menyerahkan semua urusan kepada Allah SWT, serta pengukuhan iman bahwa tidak ada yang memberi, menghalang, memudaratkan dan memberikan manfaat kecuali Dia.”[11]

Tawakal secara mudahnya ada berserah kepada Allah SWT sepenuh hati setelah berusaha bersungguh-sungguh. Samada Allah SWT mengabulkan doa yang diminta ataupun tidak, seorang hamba menerimanya dengan hati yang lapang.

Definisi yang diberikan oleh penganjur berkenaan adalah tidak tepat dan membawa pemahaman seolah-olah setiap apa yang didoakan, wajib akan diperoleh dengan penuh keyakinan.


  • Soul Travel/Astral Projection

Antara yang diminta oleh motivator ini adalah untuk peserta mengeluarkan roh masing-masing dalam satu ritual. Ini dinamakan sebagai soul travel. Astral Projection adalah perjalanan roh yang keluar daripada tubuh manusia dengan cara sengaja dan menjadi astral body yang terpisah daripada tubuh fizikal dan mampu untuk pergi ke mana-mana sahaja sama ada pada waktu yang lepas atau masa hadapan.

Ulasan

Idea berkenaan perjalanan roh ini wujud di dalam pelbagai versi daripada pelbagai budaya. Terminologi moden astral peoject diperkenalkan melalui ajaran Teosofi yang dibawa oleh Helena Blavatsky.[12] Sebahagian individu menyatakan astral project adalah persepsi kepada diskripsi yang diinduksi melalui pelbagai makna halusinasi dan hipnotik. Tidak ada bukti sainstifik yang menyatakan ia adalah minda sedar atau roh yang dimana ia terpisah daripada aktiviti neuro yang normal atau dengan minda sedar yang keluar daripada tubuh badan dan berlegar-legar di dunia roh. Namun begitu, astral project telah mendapat banyak kritikan sebagai satu daripada perkara pseudosains.[13]

Kaedah pengembaraan roh atau dikenali sebagai astral/soul travel ini ada dijalankan dalam sebuah seminar motivasi yang dilaporkan kepada kami. Kaedah ini banyak diajarkan dalam pendekatan New Age Movement. Antaranya sebagaimana yang boleh didapati dalam buku:
Astral Projection Plain & Simple: The Out-of-Body Experience oleh Osborne Philips
Leaving The Body: A Complete Guide to Astral Projection Oleh D Scott Rogo
Astral Projection, Ritual Magic, and Alchemy: Golden Dawn Material by S.L. MacGregor Mathers and Others oleh S. L. MacGregor Mathers, Francis King, R. A. Gilbert

Terdapat beberapa cara lain dalam mendapatkan mengeluarkan roh daripada badan atau istilah yang dipopularkan sebagai Out of Body Experience. Diantaranya adalah sepertimana yang dinukilkan oleh Richard Webster[14].
  • Method Meditasi
  • Swing Method
  • The French Method
  • The Whirlwind Method
  • The Visualization Technique 1 & 2
  • Willpower Method
  • Chakra Method
  • Affirmation Method
  • The Christos Method
  • Hypnotism Method

Amalan ini tidak ditemui dalam mana-mana ayat al-Qur’an dan Hadith kerana ianya jelas bahawa urusan roh adalah dibawah kuasa Allah SWT. Roh merupakan makhluk Allah SWT yang bersifat ghaib dimana keadaan sebenarmya hanya Allah SWT yang mengetahuinya. Firman Allah SWT:

وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الرُّوحِ قُلِ الرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّي وَمَا أُوتِيتُمْ مِنَ الْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلًا

Maksudnya: “Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: "Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja".(Surah al-Isra’: 85)

Guru kami, almarhum Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaily menyimpulkan tafsirannya pada ayat ini dengan menegaskan: “Sesungguhnya ilmu manusia sangatlah sedikit apabila dibandingkan dengan ilmu Allah. Didalam ayat tersebut mereka bertanya mengenai perkara roh yang dimiliki oleh Allah SWT. Dia tidak memberitahu kamu mengenainya. Dia memberitahu kamu hanya sedkit mengenai ilmu tersebut.”[15]

Betapa bermasalahnya hal ini sehingga ada sebahagian individu yang melampaui had (kami mengharapkan perkara ini tidak diajarkan oleh penganjur ini) menyatakan astral projection juga berlaku kepada Rasulullah SAW semasa peristiwa Israk Mikraj. Hal ini tidak benar kerana peristiwa Isra' Mi'raj menurut kebanyakan salaf, fuqaha', ahli hadith, ahli kalam berlaku dengan jasad dan roh Nabi berdasarkan pelbagai athar yang jelas.[16] Begitu juga ada yang mendakwa astral projection berlaku kepada Maryam alaihassalam dengan buktinya firman Allah SWT:

فَٱتَّخَذَتۡ مِن دُونِهِمۡ حِجَابࣰا فَأَرۡسَلۡنَاۤ إِلَیۡهَا رُوحَنَا فَتَمَثَّلَ لَهَا بَشَرࣰا سَوِیࣰّا

Maksudnya: “Kemudian Maryam membuat dinding untuk melindungi dirinya dari mereka maka Kami hantarkan kepadanya: Roh dari kami lalu ia menyamar diri kepadanya sebagai seorang lelaki yang sempurna bentuk kejadiannya." (Surat Maryam: 17)

Kalimah (رُوحَنَا) itu maksudnya adalah Jibril alaihissalam, dan bukan selainnya.[17]

  • Meditasi

Modul meditasi adalah antara yang diajarkan dalam Seminar Metamorfosis. Dalam keterujaan untuk belajar bermeditasi, apa yang perlu diperhatikan adalah jenis meditasi yang dilakukan. Secara asasnya, ada 2 bentuk meditasi iaitu mindfulness meditation dan transcendental meditation.

Dalam transcendental meditation, pengamal diminta melakukannya untuk menenangkan jiwa, mengosongkan minda sepenuhnya, mencapai tahap ketenangan sempurna dan seterusnya masuk kepada kondisi minda di bawah sedar dan mencapai nirvana. Kaedah ini diperkenalkan oleh Guru Maharishi Mahesh Yogi.

Wujud teknik pernafasan tertentu sambal memfokuskan kepada simbol-simbol, bintang-bintang tertentu, membayangkan dirinya bersatu dengannya sambil diulang-ulang mantra tertentu seperti “Om”. Begitu juga mendengar mantra tersebut dalam suasana tentang, cahaya yang suram. Huraian tentang Om boleh diambil daripada keempat-empat Upanishad iaitu Mundaka, Mandukya, Svetasvatara dan Katha, Baghavad Gita dan Yoga Sutra.

Kami meyakini bahawa bentuk meditasi sebegini, tidak diajarkan dalam seminar berkenaan. Namun, kami merasakan perlunya diberi peringatan kerana boleh sahaja peserta yang tidak memahami perbezaannya, mengamalkan tanpa mengetahui ianya bersalahan dengan akidah.

Ulasan

Umat Islam perlu berhati-hati dalam membezakan antara meditasi yang dibenarkan dalam Islam yang dikenali sebagai tafakkur, dan juga transcendental meditation yang diharamkan dalam Islam. Prof. Dr. Malik Badri menegaskan perbezaan antara konsep tafakkur dan transcendental meditation di mana walaupun tafakkur juga menyediakan natijah yang sama seperti apa yang ada pada transcendental meditation, tafakkur mempunyai tujuan yang lebih tinggi.

Tafakkur itu menurut beliau melalui 4 peringkat:
Ilmu tentang objek yang difikirkan melalui pancaindera.
Merenung dengan lebih dekat terhadap kecantikan dan kualiti apa yang difikirkan
Pengamal tafakkur melepasi sempadan objek yang difikirkan, terus sampai kepada Pencipta dengan penuh keterujaan dan penyerahan diri sepenuhnya.
Tidak lagi melihat ciptaan-Nya, kecuali melihatnya dengan penuh kesempurnaan, keindahan dan hikmah yang meliputi. Inilah yang dinamakan maqam musyahadah dalam tasawwuf.[18]

Walaupun diubahsuai dengan nilai-nilai Islam, kami amat khuatir ianya menghampiri kepada pengamalan kelompok Zen iaitu mazhab Mahayana bagi ajaran Buddha di Jepun yang menekankan kepada nilai meditasi dan intuisi berbanding ritual ibadah dan pengajian teks agama. Antara rujukan yang baik bagi memahami konsep meditasi di sisi Buddha adalah Buddhist Meditation: An Anthology of Texts from the Pali Canon.


  • Chakra

Melalui status FB motivator ini, beliau memperkenalkan 7 chakra sebagai pusat tenaga di dalam tubuh badan manusia. 7 chakra tersebut adalah:
  • Root chakra
  • Sacral chakra
  • Solar plexus chakra
  • Heart chakra
  • Throat chakra
  • Third eye chakra
  • Crown chakra

Ulasan

Ada yang mengaitkan chakra dengan konsep al-lata’if al-sittah dalam ilmu tasawwuf. Walaubagaimanapun, setelah penelitian dibuat, kedua-dua konsep ini jauh berbeza.

Chakra atau juga ditulis cakra dalam Bahasa Sanskrit bermaksud roda-roda atau cakera-cakera. Dalam ajaran Tantra Hindu, chakra adalah pusat tenaga kepada jasad psikik. Ajaran Tantra kebiasaannya menyebutkan 6 chakra. Ianya tersusun sepanjang tulang belakang seperti berikut:
  • Bawah tulang belakang.
  • Kawasan pusat
  • Hati
  • Kerongkong
  • Kawasan antara atau atas kening
  • Bahagian ubun-ubun (fontanel).

Setiap chakra mempunyai dewa-dewanya, kuasa, kemampuan, diagram, warna dan huruf tertentu. Tujuan utama ajaran Tantra adalah untuk menggerakkan keseluruhan tenaga ke bawah tulang belakang melalui pelbagai chakra, satu persatu. Apabila tenaga itu sampai kepada chakra yang tertinggi, pengamalnya mencapai pencerahan (enlightenment) dan pembebasan (liberation).[19]

Penemuan terawal berkenaan konsep chakra sebagai tenaga dalaman datang daripada teks agama Buddha pada kurun ke-8 iaitu Hevajra Tantra yang mengenalpasti 4 cakra dalam tubuh badan manusia iaitu di pusat, hati, kerongkong dan kepala. Pun begitu, ada juga tradisi yoga yang lain, menyenaraikan 12 chakra yang ada dalam tubuh badan.

Menurut sistem 6 lipatan yang terkenal, nama dan lokasi chakra adalah seperti berikut:
Muladhara, terletak antara lubang dubur dan kemaluan. 
Digambarkan dalam bentuk bunga teratai dengan 4 kelopak.
  • Svadhisthana, terletak di pangkal kemaluan. Digambarkan dengan 6 kelopak.
  • Manipura, terletak di pusat. Digambarkan dengan 10 kelopak.
  • Anahata, terletak di hati. Digambarkan dengan 12 kelopak.
  • Visuddha, terletak di kerongkong. Digambarkan dengan 16 kelopak.
  • Ajna, terletak di antara dua kening. Digambarkan dengan 2 kelopak.

Di atas 6 chakra ini, terletak cakra terutama iaitu yang ke-7. Ia dinamakan sahasrara dan digambarkan dalam bentuk bunga teratai dengan 1000 kelopak sebagai tempat bersemayam bagi Dewa Shiva.

Pada awal abad ke-21, chakra dan kaedah membangunkannya ditemui bukan hanya dalam tradisi esoterik Tantra tetapi juga tersebar luas melalui praktis yoga. Ianya ditemui juga di dunia Barat dan lazim terdapat dalam ajaran Gerakan Zaman Baru (New Age Movement) dan pelbagai bentuk ajaran spiritual alternatif merentasi Eropah dan Amerika Syarikat.[20]

Al-Lata’if al-Khamsa / al-Sittah yang ditemui dalam ilmu tasawwuf mempunyai perbahasan yang berbeza. Al-Lata’if berasal daripada kalimah al-latif yang diterjemahkan sebagai halus. Dalam ilmu tasawwuf, terminologi latifah membawa makna komponen yang tidak berjisim dalam tubuh manusia yang boleh “dibangunkan” melalui amalan kerohanian. Ianya berkemungkinan berasal daripada konsep al-jism al-latif yang wujud pada abad ketiga Hijrah.

Jika diteliti, Al-Lata’if al-Khamsah ada diajarkan bagi yang mengikut tarikat Naqsyabandiah. Al-Lata’if al-Khamsah adalah titik tenaga dalam tubuh di mana seorang salik perlu memfokuskan sepenuh perhatian dalam tafakkur sehingga seluruh jiwanya dan rohaninya berubah.

Hal ini dijelaskan dengan terperinci oleh seorang ahli sufi, Khwaja Mir Dad[21]. Menurutnya, Al-Lata’if al-Khamsah itu dapat difahami dengan amalan zikir pada lima titik pusat:
  • Zikir qalbi, terletak di hati di sebelah kiri dada. Ia dikaitkan dengan cinta dan keinginan yang mendalam.
  • Zikir ruhi, terletak di hati sebelah kanan dada. Ia dikaitkan dengan ketenangan.
  • Zikir sirri, hampir kepada sebelah kiri dada. Ia dikaitkan dengan keakraban.
  • Zikir khafawi, hampir kepada sebelah kanan dada. Ia dikaitkan dengan dengan hilangnya sifat keakuan kepada diri.
  • Zikir akhfawi, terletak di tengah dada. Ianya adalah petanda kesempurnaan dan fana’.

Zikir-zikir ini dipanjangkan kepada otak dalam kepuasan dan kegembiraan yang sempurna (zikir nafsi, bersambung dengan nafs qaddisah, jiwa yang suci) dan seterusnya tersebar ke seluruh jasad, tubuh badan dan roh. Apabila salik telah mencapai tafakkur dan rasa aman yang sempurna, itulah yang dinamakan zikir sultani.

Sebagaimana pandangan sufi lain, Khwaja Mird Dad berpandangan bahawa amalan zikir ini perlu konsisten. Zikir itu adalah ubat bagi roh dan doktor perlu mempelajari seni perubatannya melalui latihan amali berbanding hanya belajar melalui buku.[22]

Teori lata’if ini juga ada dihuraikan dengan sangat baik oleh ulama’ India kurun ke-18, Syah Waliyullah al-Dehlawi dalam bukunya, Altaf al-Quds. Perbahasan lata’if juga boleh didapati dalam buku Mirsad al-‘Ibad oleh Najmuddin al-Razi yang terinspirasi dengan firman Allah SWT:

وَإِن تَجْهَرْ بِالْقَوْلِ فَإِنَّهُ يَعْلَمُ السِّرَّ وَأَخْفَى

Maksudnya: “Dan jika engkau menyaringkan suara dengan doa permohonanmu, (maka yang demikian tidaklah perlu), kerana sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia dan segala yang tersembunyi.” (Surah Taha: 7)

Begitu juga ‘Alauddin al-Simnani yang mengembangkan teori Najmuddin al-Razi menjadikannya 7 titik pusat dengan menambahkan konsep kerangka fizikal (qalab) dan di atasnya ada titik pusat yang dinamakan haqiyyah dan ‘ananiyyah.[23]

Melihat kepada penjelasan yang telah diberikan ini, terbukti chakra dan lata’if tidak ada kaitan sama sekali dan amat jauh perbezaannya. Selain itu, teori lata’if ini bukanlah boleh dicapai dengan hanya seminar beberapa hari atau slot beberapa jam melainkan zikir dan latihan kerohanian yang melalui proses yang panjang di bawah pengawasan syeikh mursyid.


  • Universal Oneness

Menurut penganjur dalam satu petikan di Facebook: “Dalam kelas Mega Metamorphosis ada satu module tajuk Universal Oneness. Yang ni, peserta yang sempat belajar ni, semua balik terus jadi penuh kasih sayang. Tengok semut rasa sayang, tengok pokok rasa sayang, tengok awan rasa sayang, tengok kereta, bangunan, orang sekeliling, semua rasa sayang. Sebab semua benda adalah kita, kita adalah semua benda. We are all energy. We are all interconnected. In fact, we are all one. Dari sekecil-kecil atom, hingga sebesar-besar Galaxy. Kita semua mempunyai signature pattern yang sama, kita di perbuat dari satu benda yang sama. Energy.

Ulasan

Kami dengan penuh insaf amat meyakini bahawa penganjur tidaklah mempunyai niat tertentu sebaliknya tidak mengetahui bahawa apa yang dinukilkannya, adalah antara tema-tema utama yang dibawakan oleh Gerakan Zaman Baru (New Age Movement).

Teologi dalam NAM adalah bersifat inklusif dan universal yang menerima secara sama semua pegangan akidah individu. Ini kerana, NAM melihat perihal ketuhanan tidak boleh difahami dengan minda dan bahasa.[24] Rujukan-rujukan dalam NAM secara lazimnya membawakan bentuk yang samada dalam menggambarkan perihal ketuhanan. Antaranya:
Oleh itu, kita akan melihat istilah-istilah yang digunakan adalah Ocean of Oneness, Infinite Spirit, Primal Stream, One Essence dan Universal Principle.[25]
Pencirian perihal ketuhanan sebagai Mind, Consciousness dan Intelligence.[26]
Huraian bagi perihal ketuhanan. Dikenali sebagai energy.
Pencirian perihal ketuhanan sebagai life force.

Kami amat khuatir kenyataan yang dikeluarkan oleh penganjur ini kerana ia amat hampir kepada idea Neo-Qadariyyah dan mereka yang berpegang dengan Wahdatul Wujud. Ahli Sunnah Wal Jamaah membezakan antara wujud manusia dan wujud Allah SWT (ithnainiyyatul wujud). Ahli Sunnah Wal Jamaah juga tidak menganggap manusia mampu melakukan segala-galanya sehingga meninggalkan pemahaman konsep qada’ dan qadar, juga sifat-sifat-Nya seperti Qudrah (Maha Berkuasa) dan Iradah (Maha Berkehendak).

Selain itu, ia amat hampir dengan falsafah Perennialisme yang beranggapan bahawa perihal kerohanian bagi semua agama berkongsi satu kebenaran metafizik. Walaupun berbeza pada eksoterik, tetapi akan bersatu jua pada esoterik.

Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah-Wilayah Persekutuan Kali Ke-90 yang bersidang pada 25 Mac 2015 telah membincangkan perkara berkenaan dengan Larangan Mengamalkan Ajaran yang Menyalahi Pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Antara ciri-ciri ajaran yang menyalahi pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah (iv) Berpegang kepada konsep manusia bersatu dengan Allah SWT.


  • Salah faham Beberapa Ayat al-Qur’an, Hadith dan Sirah

Terdapat juga ayat al-Qur’an dan Hadith yang disebarkan dalam kalangan mereka di mana ianya seolah-olah mengiyakan kefahaman bahawa tidak boleh berdoa dalam keadaan ada perasaan yang negatif dalam hati seperti takut, sedih dan risau. Sedangkan, ianya bercanggah dengan apa yang dinyatakan dalam al-Qur’an dan Hadith.

Firman Allah SWT:

وَيَدْعُ الْإِنْسَانُ بِالشَّرِّ دُعَاءَهُ بِالْخَيْرِ وَكَانَ الْإِنْسَانُ عَجُولًا

Dan manusia berdoa dengan (memohon supaya ia ditimpa) kejahatan sebagaimana ia berdoa dengan memohon kebaikan, dan sememangnya manusia itu (bertabiat) terburu-buru. (Surah al-Isra': 11)

Sebahagian daripada mereka yang tidak memahami ayat di atas, menganggap inilah bukti tidak boleh berdoa dalam keadaan negatif. Antaranya testimoni yang diberikan dalam ruang komen di satu hantaran Facebook: “Tuan…saya baca ayat ni tapi tak faham. Saya fikir sapa yang nak doa keburukan untuk diri…Rupanya memang kita selalu tak sengaja mendoakan perkara negatif. Saya ulang2 nota video dalam kelas online tuan. Skrg saya faham maksud ayat ini…Sekarang saya faham dan jelas bagaimana kita sepatutnya berdoa. Feelings are prayers.”

Kata Imam Ibn Kathir:

“Allah mengkhabarkan hamba-Nya tentang kelembutan-Nya kepada hamba-hamba-Nya: ‘Dia tidak memakbulkan doa mereka apabila mereka mendoakan keburukan ke atas diri mereka, harta-harta mereka atau anak-anak mereka dalam keadaan mereka sedang marah. Dia mengetahui bahawa sebahagian daripada mereka tidak bermaksud dengan apa yang mereka doakan. Oleh itu, tidak dimakbulkan doa keburukan tersebut.”[27]

Berdasarkan penjelasan Imam Ibn Kathir, dapat kita fahami bahawa ayat di atas sama sekali tidak ada kaitan dengan berdoa dalam keadaan yang negatif seperti risau dan takut. Ayat di atas adalah berkenaan sebilangan manusia yang mendoakan keburukan buat diri dan juga sekeliling mereka.

Begitu juga sebilangan orang yang menyatakan bahawa apabila kita berdoa, Allah SWT semestinya akan memakbulkan doa tersebut jika tekniknya tepat. Dalam masa yang sama, seorang hamba perlu bersangka baik doanya pasti dimakbulkan Allah SWT. Antara dalil yang digunakan adalah firman Allah SWT:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.” (Surah Ghafir: 60)

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: Allah SWT berfirman:

أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِي بِي

Maksudnya: “Aku berada pada sangkaan hamba-Ku kepada-Ku.” (Riwayat al-Bukhari, no. 7505)

Sabda Nabi SAW:

ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ، وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لَا يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لَاهٍ

Maksudnya: Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin bahawa ianya akan dimustajabkan. Dan ketahuilah kamu bahawa Allah SWT tidak akan memustajabkan doa yang datang daripada hati yang lalai lagi alpa." Riwayat al-Tirmizi (3479)

Imam al-Baghawi menjelaskan maksud (وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ) dengan katanya: “Sembahlah aku dan tidak selainku, nescaya Aku akan mengabulkan, memberikan ganjaran dan mengampunkan kamu semua. Apabila dinyatakan ibadah itu dengan doa, datang ganjaran itu sebagai tanda mustajabnya.[28]

Ia tidak bermaksud apa jua yang kita minta, secara pasti akan dimakbulkan begitu sahaja oleh Allah SWT. Prasyarat utama yang ditekankan adalah keimanan dan tauhid yang murni kepada-Nya untuk kemakbulan doa.

Menurut Mulla ‘Ali al-Qari, lafaz (ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ) adalah bermaksud “dalam keadaan kamu benar-benar”. Manakala (مُوقِنُونَ بِالْإِجَابَةِ) adalah “Jadilah kalian ketika berdoa dalam keadaan berhak akan kemustajabannya dengan berbuat kebaikan, menghindari kemungkaran, meraikan syarat-syarat doa seperti hadirnya hati, memerhatikan masa-masa yang terbaik, tempat-tempat yang yang mulia, menjaga keadaan-keadaan yang halus seperti sujud dan lain-lain sehingga keyakinan kepada makbulnya doa itu dalam hati lebih banyak daripada tertolaknya doa atau diinginkan dan kalian berkeyakinan bahawa Allah SWT tidak mengecewakan kalian kerana luasnya kemurahan-Nya, kesempurnaan sifat Qudrah-Nya, Ilmu-Nya yang meliputi, bagi membenarkan pengharapan dan kesucian doa…"


Maka, dapat kita fahami bahawa untuk sesuatu doa itu dimakbulkan, terdapat rukun dan syarat yang perlu dipatuhi. Disamping itu, wajar untuk kita fahami bahawa sifir doa itu tidak boleh difahami “Jika seorang hamba berdoa memohon A, Allah pasti akan beri A.”. Ini bersalahan dengan kefahaman yang sebenar sebagaimana yang disebutkan daripada Abu Sa’id al-Khudri RA meriwayatkan Nabi SAW bersabda:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَدْعُو بِدَعْوَةٍ لَيْسَ فِيهَا إِثْمٌ وَلَا قَطِيعَةُ رَحِمٍ ، إِلَّا أَعْطَاهُ اللَّهُ بِهَا إِحْدَى ثَلَاثٍ إِمَّا أَنْ تُعَجَّلَ لَهُ دَعْوَتُهُ ، وَإِمَّا أَنْ يَدَّخِرَهَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ ، وَإِمَّا أَنْ يَصْرِفَ عَنْهُ مِنَ السُّوءِ مِثْلَهَا " ، قَالُوا : إِذًا نُكْثِرُ ؟ ، قَالَ : اللَّهُ أَكْثَرُ .

Tidaklah seorang Muslim berdoa dengan doa yang tidak mengandungi dosa dan memutuskan silaturahim, kecuali Allah akan memberikan kepadanya salah satu daripada tiga perkara berikut: (i) Akan disegerakan doanya, (ii) ditangguhkan ke hari Akhirat, (iii) dijauhkan keburukan semisalnya daripada orang yang berdoa. Para sahabat bertanya: Oleh itu, kami perlu banyak berdoa? Baginda menjawab: Pemberian Allah lebih banyak!” (Riwayat Ahmad, no. 11133)

Inilah bukti betapa Maha Pemurah, Maha Pengasih serta Maha Bijaksana Allah SWT yang mengetahui apa jua yang terbaik buat diri hamba-Nya. Boleh jadi apa yang kita minta, tidak baik buat diri kita. Boleh jadi apa yang kita benci, itulah yang terbaik buat diri kita. Firman Allah SWT:

وَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰ أَن تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ ۗ وَاللَّـهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah al-Baqarah: 216)

Selain daripada itu, anggapan bahawa Allah akan memberi apa jua yang kita kehendaki adalah tidak tepat. Pepatah Arab ada menyebut:

أنا أريد وأنت تريد و الله يفعل ما يريد

Maksudnya: “Saya menginginkan, kamu juga menginginkan, akan tetapi Allah SWT jualah yang melakukan apa yang Dia inginkan.”

Kami juga agak tersinggung dengan beberapa peristiwa dalam sirah yang cuba untuk dikaitkan dan dimuatkan dengan kepercayaan tertentu. Natijahnya, ia seolah-oleh menyamakan mukjizat kenabian yang hanya khusus untuk Nabi SAW, dengan “keajaiban” yang boleh berlaku kepada manusia biasa. Ini seperti astral projection atau out of body experience (pengembaraan roh) yang dikaitkan dengan Israk Mikraj, living abundance yang dikaitkan dengan mukjizat susu yang tidak habis dalam peristiwa Perang Khandaq di rumah Jabir bin Abdullah RA dan lain-lain.

Kami juga menyeru semua alumni Metamorphosis yang masih berpegang kepada perkara-perkara di atas untuk bertaubat dan meninggalkan terus amalan dan kepercayaan tersebut. Dalam masa yang sama, kami menasihati umat Islam untuk mempelajari apa jua ilmu daripada sumber yang berautoriti.- Mufti Wilayah Persekutuan -

Huda rasa terpanggil untuk berkongsi sebab huda tahu, mungkin ada yang sudah pun mengamalkan ilmu yang mereka dapat dari seminar Metamorphosis mahupun ada segilintir yang dapat ilmu ini dari pembacaan di internet dan juga buku-buku self help yang di jual di kedai buku. 

Bertaubatlah..... Allah sayangkan kita semua... Bila kita buat silap dan Allah hadirkan orang yang menegur ianya tanda rahmat dan kasih sayang Allah untuk kita. Hidup ni sangat sekejap, ini adalah waktu kita berusaha jadi hamba Allah yang soleh dah kumpul banyak2 pahala untuk kita kembali ke alam akhirat. Tak perlu nak kejar macam-macam sangat lah, nak jadi kaya raya sangat . Amalkan hidup bersederhana dan jadi hamba Allah yang bertaqwa. 

Post a Comment

2 Comments

sis gee said…
good sharing huda..
Huda Halid said…
thanks dear sudi baca. semoga bermanfaat