UDA Terus Pergiat Aktiviti Keusahawanan Menerusi Karnival UDA USHAniaga Di Pahang

UDA Terus Pergiat Aktiviti Keusahawanan Menerusi Karnival UDA USHAniaga Di Pahang | UDA Holdings Berhad (UDA) peneraju pembangunan hartanah, pengurusan aset, fasiliti dan perhotelan yang juga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus mempergiat aktiviti keusahawanan menerusi jelajah Karnival UDA USHAniaga di Serambi Teruntum, di sini, hari ini.


YBhg. Datuk Norliza Abdul Rahim, Pengerusi UDA Holdings Berhad (tengah) menyempurnakan Majlis Pelancaran Karnival UDA USHAniaga yang berlangsung di Serambi Teruntum, semalam.    Beliau turut diiringi YBrs. Dr Nordin Mohd Zain, Ahli Lembaga Pengarah UDA (dua dari kiri), YBrs. Encik Aazrudyn Rashid, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Pengurusan Aset UDA (pertama dari kiri), YBrs. Encik Mohd Nazri Jamiran, Naib Presiden Kanan Bahagian Pelaburan dan Pengurusan Harta UDA (dua dari kanan) dan YBrs. Encik Khairul Akmar Mohd Tahir, Ketua Pegawai Operasi UDA Land (East) Sdn Bhd (pertama dari kanan).

Karnival yang berlangsung dari 2 hingga 4 Disember 2022 itu menganggarkan penyertaan 117 usahawan dari pelbagai bidang dengan sasaran jualan sebanyak RM1.8 juta bagi merancakkan lagi perniagaan serta sosioekonomi tempatan. Inisiatif tersebut seiring dengan penjenamaan baharu UDA iaitu ‘LIFE’ yang menterjemahkan komitmen UDA dalam memperkasa gaya hidup lestari.

YBhg. Datuk Norliza Abdul Rahim, Pengerusi UDA berkata, UDA teruja dengan maklum balas yang positif daripada warga usahawan yang menyertai jelajah Karnival UDA USHAniaga yang telah berlangsung di empat buah lokasi sebelum ini iaitu di Odeon Walk, Kuala Lumpur, Pusat Komersial Tasek Gelugor, Pulau Pinang, Angsana Johor Bahru Mall, Johor dan Angsana Ipoh Mall, Perak.

“Menerusi jelajah Karnival UDA USHAniaga di empat lokasi sebelum ini, sebanyak 549 gerai jualan usahawan telah dibuka dengan penjanaan jualan sebanyak RM10.2 juta. Jumlah ini amat positif kerana ia melebihi sasaran awal UDA iaitu sebanyak 500 gerai jualan di semua lokasi. UDA berharap dapat meneruskan pencapaian yang memberangsangkan di Serambi Teruntum Kuantan ini seterusnya membantu mengembangkan potensi usahawan tempatan.

“Penganjuran karnival ini turut diharap dapat membudayakan aktiviti keusahawanan kepada generasi akan datang dan membuka peluang pekerjaan baharu seterusnya merapatkan jurang ekonomi masyarakat. Langkah proaktif UDA ini juga bagi memastikan golongan usahawan sentiasa berdaya saing dan berupaya untuk kelangsungan perniagaan terutamanya dalam persekitaran ekonomi negara yang kian pulih,” kata beliau ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Karnival UDA USHAniaga, di sini, hari ini.

Dalam majlis yang sama, YBhg. Datuk Norliza turut berkesempatan menyempurnakan sumbangan zakat berjumlah RM20,000 kepada empat (4) usahawan asnaf tempatan. Sumbangan itu diharap menjadi pemangkin dan semangat kepada usahawan terbabit meneruskan perniagaan mereka.

Pada majlis pelancaran karnival itu, UDA juga menyampaikan sumbangan zakat berjumlah RM20,000 kepada empat (4) usahawan asnaf tempatan.


Menerusi cabang perniagaan hartanah, UDA turut menganjurkan Kempen Hartanah UDA Ria 2022 bertemakan ‘Sempurna untuk Semua Generasi’ secara serentak di semua jelajah Karnival UDA USHAniaga. Kempen hartanah tersebut adalah pendekatan UDA untuk mendekati komuniti setempat serta membantu para pembeli memilih hartanah idaman mereka menerusi enam (6) karikatur komik yang menggambarkan karakter ‘Generasi UDA’. Pelbagai produk dan tawaran istimewa turut disediakan bagi membantu usahawan dan pelabur memiliki produk komersial seterusnya mengembangkan perniagaan mereka.

Karnival UDA USHAniaga di Pahang ini turut menjadi platform kepada pengunjung khususnya usahawan untuk mendapatkan informasi dan meneroka peluang insentif bersesuaian di gerai pameran KUSKOP serta agensi-agensi di bawahnya seperti Bank Rakyat, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Institut Koperasi Malaysia (IKMA), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, SME Bank Berhad (SME Bank), Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) dan SME Corporation Malaysia (SME Corp).

Selain itu, UDA dengan kerjasama organisasi berkaitan keusahawanan seperti Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera (USAHANITA), Richworks International Sdn Bhd (RichWorks) serta organisasi sokongan seperti Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Ninja Van dan KRU turut bersama bagi memvariasikan barisan usahawan dan produk yang ditawarkan. UDA turut mengutamakan keterangkuman dengan menampilkan usahawan Orang Kurang Upaya (OKU) dan usahawan selebriti di karnival tersebut.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan sepanjang program antaranya pameran dan jualan dari setiap segmen perniagaan UDA, ceramah berkaitan kewangan kelolaan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC). Program turut disemarakkan lagi dengan sesi perkongsian (pocket talk) ‘Pemerkasaan Usahawan’ oleh UDA dan agensi-agensi KUSKOP, sesi perkongsian bersama RichWorks Titan dan usahawan selebriti serta pelbagai aktiviti pentas.

Pengunjung turut berpeluang menyertai cabutan bertuah, pertandingan karaoke, kuiz, jualan lelong (hari ketiga) selain menonton persembahan artis terkemuka seperti Bandi Amuk (hari pertama), Shiha Zikir (hari kedua) dan Black Hanifah (hari ketiga).

YBhg. Datuk Norliza Abdul Rahim, Pengerusi UDA Holdings Berhad (tengah) dan YBrs. Encik Mohd Nazri Jamiran, Naib Presiden Kanan Bahagian Pelaburan dan Pengurusan Harta UDA (pertama dari kanan) berkesempatan melawat ke gerai jualan usahawan di Karnival UDA USHAniaga yang menampilkan penyertaan 117 usahawan dari pelbagai bidang.

Kunjungi Karnival UDA USHAniaga di Serambi Teruntum, Kuantan dan temui usahawan yang menampilkan pelbagai kategori perniagaan seperti makanan dan minuman, perhiasan diri, fesyen serta tekstil, termasuk jenama terkemuka oleh usahawan selebriti. Sebarang maklumat lanjut berkaitan karnival dan usahawan sila layari www.udamalls.com.my manakala bagi yang berminat untuk mendapatkan informasi produk hartanah UDA, sila layari www.udaproperty.com.my.

Post a Comment

0 Comments