Tips Bahagiakan Pasangan dari UAH | Masih lagi "honeymoon" mood kononnya yer lah, maklumlah semalam celebrate sedekad bersama... So mari lah kita kongsi sikit ilmu tentang bagaimana kita nak bahagiakan pasangan kita. Nak tahu tak? Jom kita baca satu persatu tips yang dikongsikan oleh Ustazah Asma Harun.
TIPS BAHAGIAKAN PASANGAN
Fitrahnya setiap pasangan itu mendambakan sebuah perkahwinan yang bahagia. Namun untuk mewujudkan kemesraan dan keserasian dalam bahtera ini bukanlah suatu perkara yang mudah. Benar ianya perlu dipupuk dengan melalui proses dan ujian demi ujian untuk mengenali antara satu sama lain.
Firman Allah SWT :
وَمِنْ ءَايَٰتِهِۦٓ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَٰجًا لِّتَسْكُنُوٓا۟ إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَءَايَٰتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَMaksudnya : "Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir."(Surah Rom : 21)
Sahabat yang dikasihi,
Walau apa pun caranya, berusahalah membuat pasangan merasa bahagia dan tenang dengan setiap perbuatan dan tingkah laku kita. Saya cadangkan beberapa tips ini untuk kita sama-sama amalkan insyaAllah.
Tips Bahagiakan Pasangan dari UAH
1. SALING BERKOMUNIKASI
Komunikasi antara pasangan ini juga merupakan sunnah yang dituntut. Disarankan untuk berbincang mengenai masalah atau apa-apa cadangan untuk penambahbaikan rumahtangga ketika seusai solat. Rasulullah SAW juga sering mengajak isteri tercinta Aisyah RA untuk berbincang mengenai apa-apa isu dan saling memberi nasihat.
2. BUKTIKAN KASIH SAYANG DAN WUJUDKAN KEMESRAAN
Belai dan bermesralah bersama pasangan dengan penuh kasih sayang kerana Allah. Layani emosinya dan cuba sedaya upaya untuk memenuhi segala keinginan. Ianya bakal menautkan hubungan hati pasangan dengan lebih erat. Antara kaedah lain sentiasa bermanis muka ketika bersama pasangan. Senyuman yang ikhlas juga merangsang kepada emosi seharian pasangan untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
3. BERMAAFAN SEBELUM TIDUR
Memohon maaf dan memaafkan pasangan sebelum tidur ini juga sangat dituntut, terutama apabila berlaku pertelingkahan pada hari tersebut. Terkadang ada perbuatan atau tingkah laku kita yang mengguriskan hati pasangan. Jadikan amalan ini sebagai rutin sebelum tidur agar masalah tidak berlarutan pada keesokkan harinya insyaAllah. Sekaligus mewujudkan suasana rumahtangga yang diredhai Allah SWT.
4. DOA YANG BERTERUSAN
Doa buat pasangan ini sangat dituntut, umpama benteng dan penguat dalam sesebuah hubungan dari segala sudut dalaman dan luaran. Doalah agar hubungan hati yang berbolak balik ini dijaga dan dilindungi oleh Allah SWT. Jadikan doa sebagai rutin dalam rumahtangga dalam menetapkan sesuatu keputusan bukan sahaja ketika selesai solat.
Antara saranan doa yang boleh di amalkan :
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ اَزْوَاجِنَا وَذُرِّيّٰتِنَا قُرَّةَ اَعْيُنٍ وَّاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِيْنَ اِمَامًا
“Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.”
(Surah Furqan : 74)
5- MENGHARGAI PASANGAN
Ucapkanlah terima kasih sebagai tanda penghargaan kepada pasangan yang telah berkorban masa dan tenaga demi mencari rezeki dan menguruskan rumahtangga juga anak-anak. Belikan hadiah atau berikan kejutan tanda anda menghargainya. Zahirkan dalam memberi boleh membuatkan pasangan merasa dirinya dihargai dan disayangi.
Semoga Allah penuhi rumahtangga kita dengan suasana sakinah, mawaddah, warrahmah sebagaimana yang dituntut dalam Islam. InsyaAllah kita tanam tekad yang kuat untuk peroleh kebahagiaan bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat juga. Allahuma Aameen
Kredit : Ustazah ASMA' BINTI HARUN
0 Comments