Kelebihan 10 Hari Di Awal Bulan Zulhijjah.


Assalamualaikum kepada semua pembaca blog huda. Alhamdulillah atas segala nikmat dan kesempatan untuk menulis pagi ini walau urusan kerja ghost writer membuatkan huda sibuk sehingga kurang masa untuk menulis blog sendiri. Sibuk menulis bagi pihak orang lain. Itulah kerja seorang penulis upahan yang kini menjadi sumber pendapatan huda yang utama. Walau sesibuk mana, huda selalu ingatkan diri sendiri tentang penting membahagikan masa sebaiknya. Masa untuk diri kita dekat dengan Allah dan sentiasa berusaha membuat amal soleh demi bekalan hari akhirat. Dunia ini sementara, sebanyak mana harta yang kita kumpul satu pun kita tak dapat bawa ke akhirat melainkan amal soleh. Jom kita rebut peluang lakukan amal soleh lebih-lebih lagi 10 hari di awal bulan Zulhijjah. 


Kelebihan 10 Hari Pertama di bulan Zulhijjah.


Jika Ramadan dikenali dengan kelebihan sepuluh malam terakhirnya, bulan Zulhijah dikenali dengan kelebihan menggandakan amalan pada sepuluh hari awalnya.

Allah SWT dalam al-Quran menerusi firmanNya yang bermaksud:

 “Demi waktu fajar. Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah).”
 (Surah al-Fajr, ayat 1-2)



Seorang pensyarah  di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menghuraikan 10 malam yang di maskudkan di dalam ayat Al-Quran di atas merujuk kepada 10 hari di awal bulan Zulhijjah.

Berikut adalah kompilasi hadis-hadis yang menceritakan kelebihan 10 hari pertama di bulan Zulhijjah.

Hadis itu menunjukkan ganjaran besar bagi orang yang memperbanyakkan amalan soleh pada sepuluh hari pertama bulan Zulhijah.


Amal Soleh Lebih Dicintai Allah 

Melebihi Jihad Pada Jalan Allah


Daripada Ibn ‘Abbas, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Tidak ada hari yang mana amal soleh dilakukan padanya lebih dicintai oleh Allah daripada sepuluh hari ini (awal Zulhijjah).” Mereka berkata; Wahai Rasulullah! Tidak juga berjihad di jalan Allah? Baginda SAW berkata: “Tidak juga berjihad di jalan Allah melainkan seseorang itu keluar dengan jiwa dan hartanya kemudian dia tidak kembali (syahid) dengan membawa sesuatu pun.                                                                                                                                                                                                                                  (Hadis riwayat Abu Dawud)

Kenapa 10 Hari Pertama Bulan Zulhijjah ISTIMEWA?


Menurut Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam kitabnya Fath al-Bari:

 “Sebab yang menjadikan istimewanya sepuluh hari (pertama) bulan Zulhijah adalah kerana padanya terkumpul ibadat-ibadat besar (dalam Islam) seperti solat, puasa, sedekah dan haji, yang (semua) ini tidak terdapat pada hari-hari yang lain.”

Ibn Qayyim al-Jauziyah dalam kitabnya Zad alMa’ad menyatakan kelebihan sepuluh hari awal bulan Zulhijah menukilkan:

 “Sedangkan sepuluh hari pertama Zulhijjah lebih utama ditinjau daripada hari (siangnya) kerana di dalamnya terdapat hari al-Nahr (korban), Hari Arafah (9 Zulhijah) dan terdapat hari at-Tarwiyah (8 Zulhijah).”

Amalan 10 Hari Pertama di bulan Zulhijjah. 

Ayuh semua, kita manfaatkan  peluang keemasan ini dengan memperbanyakkan amalan soleh. Lakukanlah apa sahaja amalan dengan ikhlas dan mengharapkan rahmat dan kasih sayang Allah SWT.

Antara amalan yang boleh dilakukan ialah
  • memperbanyakkan bacaan al-Quran,
  • sedekah,
  • iktikaf di masjid,
  • puasa sunat at-Tarwiyah ( 8 Zulhijjah)
  • puasa sunat Hari Arafah pada tanggal 9 Zulhijah iaitu sehari sebelum Aidiladha.


Rasulullah SAW bersabda berkenaan puasa sunat Hari Arafah menerusi sabdanya:

 “Aku berharap kepada Allah, puasa ini menggugurkan (dosa-dosa) pada tahun yang lalu dan tahun berikutnya.”
(Hadis riwayat Muslim)


Tarikh 10 Hari Pertama di bulan Zulhijjah Tahun 2020


1 Dzulhijjah = 22 Julai 2020
2 Dzulhijjah = 23 Julai 2020
3 Dzulhijjah = 24 Julai 2020
4 Dzulhijjah = 25 Julai 2020
5 Dzulhijjah = 26 Julai 2020
6 Dzulhijjah = 27 Julai 2020
7 Dzulhijjah = 28 Julai 2020
8 Dzulhijjah = 29 Julai 2020
9 Dzulhijjah = 30 Julai 2020

HARAM PUASA ( Hari Tasyrik ) 
_*10 Dzulhijjah -  13 Dzulhijjah iaitu 31 Julai 2020 sehingga 3 Ogos 2020


Jom tanda awal-awal di kalendar tarikh berikut, dan niat dalam hati untuk melakukan sebanyak mungkin kebaikan. Ikhlas kerana Allah!

Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada semua orang mukmin. Kongsikan juga artikel ini supaya lebih ramai orang mendapat manfaat.

 " Penunjuk jalan kepada kebaikan akan mendapat pahala seperti orang yang berbuat kebaikan tersebut."

Post a Comment

3 Comments

Nadia Johari said…
Betul banyak kelebihannya
Marina Bashah said…
Terima kasih sharing ni
Ai said…
Terima kasih atas perkongsian kak huda.