Apa Yang Wanita Perlu Tahu Tentang Ilmu Perancangan Pewarisan Harta



Wanita.... walau kita ni kaum yang lemah namun kita mesti bijak! Bijak dalam hal dunia dan juga hal alkhirat. Maka hari ni, huda nak kongsi ilmu tentang perancangan pewarisan harta yang wanita macam kita ni perlu tahu , dan wajib ambil tahu yer! Jangan malas-malas nak membaca dan siapkan diri dengan ilmu ni supaya masa depan kita dan anak-anak kita terjamin seandainya Allah uji kita di kemudian hari...

Apa Yang Wanita Perlu Tahu Tentang Ilmu Perancangan Pewarisan Harta




Kesedaran wanita dalam membuat perancangan pewarisan harta masih lagi rendah. Meskipun kebanyakan mereka mengetahui kepentingan untuk melindungi waris-waris yang ditinggalkan. Sehinggalah berlaku kematian dalam keluarga, yang menyebabkan mereka hilang tempat bergantung dan pada masa yang sama tidak bekerja tetapi mempunyai tanggungan. Pada ketika itu wanita akan mula sedar mengenai kepentingan perancangan pewarisan yang sepatutnya dilakukan dan mencari jalan penyelesaian berkenaan harta pusaka yang ditinggalkan. 


Biarpun wanita disifatkan seorang yang bijak dan teliti mengatur perancangan masa hadapan dan kewangan berbanding orang lelaki, tetapi tidak ramai yang mengambil berat terhadap perancangan pewarisan. Malahan, terdapat segelintir wanita yang bujang dan berkerjaya langsung tidak pernah terfikir ke mana harta yang dikumpul semasa hayat mereka akan diagihkan apabila meninggal dunia. Sedangkan perancangan pewarisan adalah pelengkap kepada perancangan kewangan yang patut dilakukan semasa hayat. 

PERINGATKAN DIRI DAN SUAMI 


Jika seseorang wanita itu telah berkahwin, mereka sewajarnya sentiasa memainkan peranan mengingatkan suami secara kerap supaya melaksanakan perancangan pewarisan bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang boleh berlaku, terutama membabitkan harta yang ditinggalkan. Jika suami belum membuat perancangan harta secara wasiat atau hibah, sila beritahu suami untuk melakukannya selagi masih diberikan kesihatan yang baik dan kudrat untuk bergerak ke mana-mana. 

Tidak kiralah sebagai seorang isteri yang berkerjaya ataupun suri rumah sepenuh masa sahaja, wanita perlu memainkan peranan mengingatkan suami untuk melaksanakan perancangan pewarisan demi kelangsungan hidup bersama anak apabila suami meninggal dunia kelak. 

Begitu juga jika wanita tersebut seorang yang hidup bersendirian sama ada ibu tunggal atau belum berkahwin, mereka juga tidak terkecuali membuat perancangan pewarisan supaya harta yang dimiliki dapat dibahagikan dalam bentuk jariah dan selebihnya dibahagikan kepada waris-waris yang berhak. 

Tanpa persiapan yang betul ke atas perancangan pewarisan tidak ada jaminan harta yang dikumpul semasa hidup bakal diwarisi dengan mudah, terutama jika seseorang mempunyai anak angkat dan anak tiri yang sememangnya kita berhasrat supaya mereka menikmati manfaat daripada harta pusaka yang ditinggalkan. 

SIMPAN DAN REKOD DOKUMEN HARTA 


Dalam membuat perancangan pewarisan, perkara pokok yang perlu diketahui oleh wanita adalah dengan memastikan anda dan suami menyimpan semua geran atau perjanjian yang ada. Jika masih ada hutang pembiayaan, pastikan semua resit bayaran, penyata pembiayaan tahunan dan penjanjian pembiayaan disimpan dengan baik. Anda juga perlu menyimpan ‘cover note’ atau polisi takaful yang melindungi pembiayaan ke atas harta tak alih.

Ia penting supaya baki hutang pembiayaan dapat diselesaikan jika terjadi sebarang musibah. Semua dokumen yang berkaitan harta alih perlulah disimpan seperti buku akaun, penyata pelaburan dan polisi. Jika ada nombor telefon broker, remisier, ejen atau syarikat pelaburan dan takaful yang sering dihubungi, catatkan untuk kemudahan membuat sebarang tuntutan atau urusan.
Untuk akaun simpanan, jika ada kad ATM, bolehlah dicatatkan nombor pin setiap kad ATM yang ada. 

Selain maklumat berkenaan harta, anda jangan lupa untuk mengenalpasti semua hutang yang masih ada. Tidak kira hutang dengan Allah seperti zakat, badal haji, fidyah dan kaffarah atau hutang dengan individu atau dengan bank/institusi kewangan.

 Semua perjanjian pembiayaan, resit bayaran dan penyata pembiayaan perlu disimpan dengan baik. Sebaik-baiknya, hutang perlu diselesaikan semasa hayat masih ada. Tetapi, jika ajal sudah menjemput, menjadi tanggungjawab waris untuk menyelesaikan hutang yang masih berbaki. Jika menjadi pemiutang (pemberi hutang) dan penjamin, semua dokumen berkaitan juga perlu didokumenkan. 

Selepas mengenalpasti semua harta dan hutang, anda perlu menyenaraikan semua waris yang ada. Waris-waris yang perlu disenaraikan adalah anak-anak, isteri, ibu dan bapa. Jika sebelum ini pernah berkahwin lain, mempunyai anak dan bercerai, perlulah dikenalpasti anak-anak yang terpisah tersebut.

Waris-waris yang terputus hubungan perlu dikesan dan dicari, walaupun mereka tinggal berjauhan, mereka masih mempunyai hak ke atas harta pusaka yang akan ditinggalkan. Dapatkan dan simpan salinan sijil beranak, kad pengenalan, sijil kahwin/nikah dan sijil kematian (jika waris telah meninggal dunia). Jika ada perkahwinan yang belum didaftarkan, daftarkan segera supaya tidak berlaku drama-drama pertikaian selepas kematian nanti.

 Begitu juga dengan anak-anak yang tidak didaftarkan, pastikan semuanya berdaftar dan mempunyai sijil kelahiran atau kad pengenalan. Setiap waris adalah berhak ke atas harta pusaka yang ditinggalkan. 



KENALI INSTRUMEN PERANCANGAN PEWARISAN HARTA 



Langkah yang paling penting ialah bagaimana anda sebagai wanita menasihati suami atau melakukan untuk diri sendiri melaksana instrumen-instrumen perancangan pewarisan harta. 

Antara instrumen-intrumen yang boleh digunakan adalah: 
  1. Wasi / Penama / Pentadbir – Melantik wasi / penama / pentadbir yang akan bertindak untuk mentadbir dan bertanggungjawab untuk menguruskan pembahagian harta pusaka kepada benefisiari dan waris-waris yang berhak selepas kematian nanti. 
  2. Hibah – Memindahmilikkan / menghadiahkan harta semasa hidup kepada mana-mana waris atau bukan waris atau mana-mana orang yang disayangi. 
  3. Wasiat – Mengikrarkan untuk mewasiatkan harta semasa hidup untuk dibahagikan selepas mati pada kadar 1/3 harta sahaja dan bukan kepada waris. Sekiranya lebih dari 1/3 atau kepada waris, ia tidak akan berkuatkuasa melainkan dipersetujui oleh waris-waris lain nanti. 
  4. Amanah – Menyerahkan harta kepada pemegang amanah yang akan bertanggungjawab untuk melaksanakan amanah dan melindungi harta pusaka anda. 
  5. Wakaf – Menginfaqkan harta pusaka yang ditinggalkan sebagai sumbangan untuk kegunaan umum seperti pembinaan masjid. Wakaf berfungsi sebagai kesinambungan amalan selepas kematian. Jumlah harta yang diwakafkan sekiranya selepas kematian adalah tidak melebihi 1/3 daripada nilai kesemua harta bersih yang ditinggalkan. 
  6. Faraid – Pembahagian harta pusaka yang ditetapkan oleh hukum syarak. Faraid memastikan pembahagian yang adil dan saksama kepada kesemua waris yang ditinggalkan. Pecahan pembahagian bergantung kepada jenis (anak lelaki, anak perempuan, isteri, ibu, bapa) dan bilangan waris yang masih ada. 

APA YANG PERLU DIBUAT? 

Dapatkan khidmat dan nasihat profesional 

Selepas membuat draf pewarisan harta dan memilih instrumen-instrumen yang sesuai, draf tadi perlulah didokumenkan supaya menjadi satu dokumen wasiat / hibah / amanah / perwarisan yang sah. Untuk menghasilkan dokumen yang sah memerlukan kepada bantuan daripada mereka yang arif dalam bidang pewarisan dan undang-undang. Di sinilah pemilik harta boleh melantik Majlis Agama Islam Selangor sebagai pihak berautoriti untuk bertindak sebagai wasi, pemegang amanah atau pentadbir harta pusaka. Hubungi MAIS di talian 03-55143773 atau 3772 atau layari www.mais.gov.my

Sediakan peruntukan kewangan 

Apabila memerlukan khidmat profesional untuk menyediakan dokumen-dokumen wasiat / hibah / amanah / perwarisan, sudah semestinya memerlukan kos. Oleh itu, sediakanlah peruntukan kewangan secukupnya. Walaupun kos terpaksa dikeluarkan, ketahuilah bahawa kos yang dikeluarkan ini mungkin lebih rendah jika dibandingkan dengan kos mengurus harta pusaka yang terpaksa waris-waris keluarkan jika tiada perancangan awal dibuat. 

Maklumkan perancangan pembahagian kepada waris atau orang yang boleh dipercayai 

Langkah ini dilakukan bagi memberitahu waris atau orang yang dipercayai supaya menghubungi wasi, pemegang amanah atau pentadbir yang telah dilantik jika berlaku kematian oleh pemilik harta. Perancangan yang bijak yang telah dilakukan sebelum ini akan dapat membantu waris-waris seterusnya mereka boleh menikmati harta pusaka dengan penuh kesyukuran dan mengekalkan hubungan erat silaturrahim dalam keluarga. 

Untuk maklumat lanjut boleh layari laman web rasmi MAIS dan juga follow di social media :-

Website: www.mais.gov.my
Facebook: Majlis Agama Islam Selangor / Wasiat Hibah Pusaka Faraid MAIS
Instagram: @mais_officialhq / @wasiatislam

Post a Comment

17 Comments

atiehilmi.com said…
wah !! sangat informatif.. ada beberapa perkara yang saya kena semak semula dengan suami untuk anak-anak.. em.. terima kasih tau huda..
mek yunie said…
mek memang nasihatkan untuk adakan wasiat walaupun harta hanya rumah sebiji je. perlu sangat sangat kerana perlu tahu apa keinginan si mati. nak bagi kat sape. or whatever. sebab manusia ni kalau duit free memang akan cari kaedah untuk dapatkan. lagi lagi kalau bukan darah daging kita. hanya pertalian kerana kahwin dengan husband. beringat lah kita kaum perempuan. perlu lebih berhati hati dalam hal ini.
umminani said…
tq huda share ilmu ya. Betul semua kena tahu ilmu ni
adianiez AIDA said…
memandangkan aida ni law graduates, mengakui la bahawa semua ni penting.
kena ambil tahu. krn ia bakal memudahkan pihak2 yg hidup menguruskan apa yg patut.
lelebih lagi sekiranya meninggalkan anak-anak. lebihlah nak taksir harta parent yg ditinggalkan.
adik-beradik, saudara-mara ni lebih baik kita anggap - bersama ketika kita berada.
sebaliknya, ntah ada diorang, ntah kan tidak.
maka, perempuan terutamanya, mesti master bab ni.
Sis Lin said…
Memang kena amik tau, sebab Sis dah ada adik yang kematian Suami baru-baru ni, nak kena uruskan semua, Sis meneman dia so Sis dah tau dah cara pengurusan harta tu semua...yang penting, kita suami isteri kena jujur dan bagitau harta sepencarian kita ...kalau tak susah juga bila suami dah tau, tau-tau banyak nak kena declare...huhuhu
miedaJaz said…
Tq huda for sharing..x semua isteri2 tahu tentang pembahagian harta nie..dgn ada info nie dapatlah para isteri memahami
Ruby said…
Kena tahu hal ni. Sebab kita tak pasti apa jadi pada masa akan dtg. Ada org cakap kat akak. Untunglah kau ada anak lelaki. Takda siapa usik harta peninggalan korang laki bini.

Tapi kan, kalau kita tak uruskan. Lagi la susah waris kita. Mesti buat pengurusan. Walau salah sorang dr kami meninggal. Betul tak?
iena eliena said…
Perkongsian yang bagus..terima kasih atas perkongsian. Kalau tak iena pun tak berapa tau tentang ilmu perancangan pewarisan harta ni :D
Zharif Azis said…
Pendokumentasian sy rasa wanita mmg hebat bab itu. Sangat terperinci dan tersusun.
Hanny Abdullh said…
Kita pompuan mmg kena ambik tahu jugak ni..jgn pandang sebelah mata sb penting sgt. Byk kes dh dgr sb kurangnya pemhamaman ttg ni. Sis pun kena byk study lagi. Terima kasih atas perkongsian
Bella Jamal said…
Baru tersedar yabg dokumen penting entah simpan kemana ntah. Bila nak pakai, puaslah cari satu rumah. Bagus info ni utk kesedaran semua.
RAIHANAH AHMAD said…
memang penting ada ilmu tentang ni, semua wanita perlu tahu sebaiknya.
Balqis Athirah said…
Banyak yang Qiss tak tahu pasal perancangan harta ni. Nak kena dapatkan khidmat nasihat lah. Nanti bila keadaan dah reda boleh tambah ilmu bab ni kan
Rawlins GLAM said…
Tq di atas peringatan ini. Ramai yang ambil mudah perkara begini dan bila terjadi musibah, kelam kabut memasing kan:
Mimie said…
Sangat sangat membantu dan memberi pendedahan pada kita kaum wnaita untuk ambil tahu mengenai perwarisan harta ni. Yelah kebanyakannya masih tak ambil tahu dan peduli. Baca entry ni banyak ilmu yang kita dapat kan. Terima kasih share maklumat yang bagus dan berguna.
apekinahdotcom said…
Semua wanita patut tahu dan ambil berat akan hal ni. Tapi, kebanyakan yang kinah tengok ramai yang ambil mudah akan hal ni, dan bila berlakunya kematian, mulalah timbul masalah mengenai warisan harta. Info yang kak huda share ni sangat membantu. Thanks ye
Aerill Hassan said…
artikel ni buatkan saya yg bukan wanita ni utk terus mendalami ilmu ni hehe :)