10 Cara Mudah Didik Anak Ikut Sunnah Nabi.



Semua ibu bapa inginkan anak-anak mereka membesar menjadi anak yang soleh dan solehah. Anak-anak adalah aset kita dunia akhirat. Oleh kerana itu, didiklah mereka dengan didikan terbaik iaitu mengikut Sunnah Rasullah SAW. Jom kita kongsi 10 Cara Mudah Didik Anak Ikut Sunnah Nabi.

1. Banyakkan senyuman



Ajar anak supaya tak lokek senyuman. Katakan kepada mereka senyum itu satu sedekah. Nabi SAW juga seorang manusia yang banyak tersenyum. Biarlah anak kita membesar sebagai anak yang suka tersenyum dan hendak mencontohi akhlak Nabi SAW.

2. Membaca surah al Ikhlas, al Falaq dan an Naas sebelum tidur




Aisyah r.ha. meriwayatkan: “Setiap kali hendak tidur pada malam hari, Rasulullah SAW selalu menadahkan kedua tapak tangan sambil membaca Surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas kemudian Baginda meniup kedua-dua tapak tangan tersebut.

Setelah itu, Baginda menyapu bahagian tubuh yang terjangkau, dimulai dari kepala, wajah lalu bahagian depan tubuh Baginda. Hal itu Baginda lakukan sebanyak tiga kali.” (Riwayat Tarmizi, Abu Daud, Ibnu Majah, Nasa’i dan Ahmad). Ceritakan kepada anak tentang kisah ini supaya mereka berazam mengikut amalan Rasulullah.

3. Duduk ketika minum

Sebaik si kecil sudah belajar minum air, ajarkan dia supaya setiap kali hendak minum mestilah duduk. Melentur buluh biar dari rebungnya, barulah berjaya mendidik anak menjadi anak soleh/solehah.

4. Membaca Bismillah ketika hendak makan/minum


Didikan ini boleh dimulakan sejak bayi kecil lagi. Setiap kali hendak menyusukan anak mulakan dengan bacaan Bismillah. Secara tidak langsung si kecil tahu bacaan Bismillah mesti dibaca setiap kali hendak makan atau minum.

5. Mengucap Alhamdulillah setelah makan/minum


Selepas selesai anak minum susu, ajarkan dia mengucapkan Alhamdulillah sebagai ucapan terima kasih kepada Allah SWT yang memberikan rezeki.

6. Rajin bersedekah


Jika anak sudah ke sekolah tadika, bolehlah mengajarnya kebaikan bersedekah. Tak perlu banyak, mungkin boleh dimulakan dengan nilai yang sedikit mengikut kemampuan masing-masing. Sekurang-kurangnya dia membesar sebagai anak yang tidak kedekut dan suka bersedekah sepertimana Rasulullah berpesan suapaya kita menjaga sedekah setiap hari.

Allah menyukai orang yang suka bersedekah, dan malaikat selalu mendoakan kepada orang yang bersedekah setiap hari.

7. Dahulukan anggota kanan

Daripada Aisyah, katanya: “Rasulullah SAW lebih suka mendahulukan yang kanan dalam segala hal (perbuatan) seperti memakai kasut, bersikat, berwuduk dan mandi.” (Hadis riwayat Muslim). Maka didiklah anak-anak anda untuk mendahulukan anggota kanan dalam setiap urusan seharian mereka.

8. Baca surah al-Kahfi setiap Jumaat

Kelebihan membaca surah al-Kahfi setiap hari Jumaat sememangnya sudah diberitahu oleh Rasulullah SAW. Maka ajarkan anak anda untuk membuat amalan ini di setiap hari Jumaat dan bukannya membaca surah Yassin. Surah Yassin boleh dibaca pada bila-bila masa sahaja.

9. Berjimat menggunakan air

Kanak-kanak perlu diajar supaya tidak membazir dalam banyak hal. Antaranya penggunaan air. Biasanya kanak-kanak suka main air semasa mandi. Jadi beritahu mreka, Rasulullah mengajar kita supaya sentiasa berjimat semasa menggunakan air.

10.Tidak mencela makanan


Kadang kala si kecil akan menunjukkan mimik muka tidak sukanya terhadap makanan yang dihidang tanpa berselindung. Jangan biarkan kelakuan tersebut tanpa teguran. Katakan kepadanya bahawa perbuatan tidak mencela makanan adalah sunnah Rasulullah SAW. Jadi kalau kita sayang akan Rasulullah maka perlulah mengikut apa yang diajarkan.

Semoga anak-anak kita membesar sebagai anak yang soleh dan solehah mengikut acuan didikan yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.




Kredit : Pa & Ma

Post a Comment

0 Comments